KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang mengkaji semula mekanisme dan struktur bagi meningkatkan kawalan individu terhadap simpanan persaraan mereka berikutan sasaran untuk memperluas rangkaian tawaran berfokus persaraan untuk memudahkan pengurusan kekayaan secara lebih aktif.
Sehubungan itu, SC akan menilai struktur akaun skim persaraan swasta bagi membolehkan akses terus kepada kelas aset lain, meningkatkan pilihan produk pelabur dan membantu mereka mencapai matlamat persaraan jangka panjang, menurut Pelan Induk Pasaran Modal 4 (CMP4) 2026-2030.
“Pindaan perundangan mungkin diperlukan untuk memastikan keperluan pentadbiran dan operasi tidak membebankan kos yang berlebihan,” menurut SC menerusi pelan induk yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
SC berkata ketelusan mengenai fi produk, prestasi dan maklumat lain akan membantu pelabur untuk menjejak hasil, menilai keberkesanan dan membuat keputusan jangka panjang yang lebih bermaklumat.
“Apa yang dihasratkan adalah untuk pelabur memanfaatkan rangka kerja akaun pelaburan persaraan Malaysia untuk individu, yang membolehkan akses kepada pelbagai sekuriti (ekuiti domestik dan asing, bon dan sukuk, skim pelaburan kolektif (CIS), ECF, P2P, dana VC/PE, aset digital),” katanya.
Selain itu, SC akan memudahkan skim pengurusan portfolio berasaskan algoritma atau ePRS yang akan ditawarkan oleh pengurus pelaburan digital.
Skim berasaskan algoritma ini beroperasi sepenuhnya dalam talian melalui aplikasi mudah alih untuk memudahkan interaksi pelanggan yang lebih baik, dan lazimnya tidak mengenakan komisen.
Langkah ini perlu dilengkapkan dengan dorongan tingkah laku yang berperanan penting dalam menggalakkan tabiat simpanan persaraan yang konsisten.
“Di peringkat global, diakui bahawa pelepasan cukai adalah penting untuk meningkatkan penyertaan dalam produk dan perkhidmatan persaraan dengan ciri-ciri pengekalan jangka panjang.
“Sehubungan itu, skim persaraan sukarela dalam pelbagai bidang kuasa, disokong oleh beberapa pelepasan cukai atau insentif untuk menggalakkan tabiat menyimpan yang berterusan.
“Keutamaan ini mencerminkan keperluan untuk memastikan populasi menua bersedia untuk menangani kekurangan simpanan persaraan.
“Oleh itu, usaha akan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai manfaat perancangan persaraan aktif dan memulakan simpanan pada usia muda,” kata SC.
Sehubungan itu, SC akan memudahkan penyelarasan proses pendaftaran bagi memudahkan individu mula menyimpan untuk persaraan, katanya sambil memaklumkan usaha ini akan disokong pelbagai langkah bantuan dan mekanisme permulaan bagi menggalakkan penyertaan skim persaraan yang lebih awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial