KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Keputusan kerajaan mengekalkan had siling Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sehingga 800 liter sebulan bagi pemandu e-panggilan atau e-hailing dan pekerja gig diharap dapat menjadikan perkhidmatan berkenaan sebagai pilihan utama pengguna.
Pendekatan tersebut sekali gus menjadi langkah alternatif dalam menjimatkan kos penggunaan petrol, selari dengan keperluan mengurus kos dan penggunaan tenaga secara lebih cekap ketika dunia terkesan dengan konflik di Asia Barat.
Sekretariat Persatuan Pemandu e-Hailing Wilayah Utara bagi Pulau Pinang Iqmal Hisham Ibrahim, 47, berkata langkah itu memadai bagi kebanyakan pemandu e-hailing, terutama yang aktif beroperasi sepenuh masa, memandangkan mereka menggunakan sekitar 600 liter petrol sebulan bergantung kepada jarak perjalanan antara 3,000 hingga 4,000 kilometer (km).
“Mekanisme pemantauan oleh syarikat penyedia perkhidmatan seperti Grab turut membantu memastikan subsidi disalurkan kepada pemandu yang benar-benar layak. Setiap pemandu dipantau berdasarkan prestasi dan jarak perjalanan. Kalau kurang daripada had tertentu, kelayakan itu akan dinilai semula,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Di Negeri Sembilan, pemandu e-hailing Mohd Alias Abu Bakar, 43, berkata pengekalan had 800 liter sebulan dapat membantu memastikan operasi perkhidmatannya berjalan lebih lancar dan terjamin.
“Kami memahami bahawa seluruh dunia terkesan dengan konflik yang berlaku di Asia Barat, namun Kerajaan Malaysia dilihat terus prihatin dengan mengekalkan subsidi sedia ada sebagai usaha memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Selain itu, pekerja swasta Siti Amirah Nordin, 45, yang merupakan antara pelanggan tegar perkhidmatan itu berkata golongan pemandu e-hailing dan pekerja gig sememangnya layak dikekalkan had siling petrol terutama mereka yang menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan utama.
Sementara itu, pemandu e-hailing di Selangor Yusof Abdul Halim, 34, berkata langkah kerajaan itu sangat membantunya dalam meneruskan pekerjaan harian, terutama bagi menampung kos harga bahan api yang semakin meningkat di peringkat global.
Beliau berkata jarak perjalanan yang kadangkala melebihi 30 km sehari menjadikan kos minyak sebagai beban utama memandangkan pekerjaan tersebut merupakan pendapatan utamanya.
“Saya lega kerana kerajaan masih mengekalkan harga siling minyak untuk kenderaan dan ini memang banyak membantu saya, terutama untuk menampung kos minyak kerana jarak perjalanan harian agak jauh,” katanya.
Di Pahang, pemandu e-hailing separuh masa Mohd Firdaus Rosli, 46, berkata pengekalan had siling itu menunjukkan kerajaan komited untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.
“Kami faham kerajaan mahu mengelakkan ketirisan penggunaan petrol dengan melaksanakan had ini. Setakat ini, jumlah diberikan munasabah dan saya sebagai pemandu e-hailing secara sambilan boleh beroperasi seperti biasa,” katanya.
Pada masa sama, Zaharudin Mohd, 35, yang juga pemandu e-panggilan lega apabila kerajaan mengekalkan had siling berkenaan kerana ia memberi ruang kepadanya untuk terus menjana pendapatan melalui perkhidmatan itu.
Sementara itu, di Johor Faizal Adnan, 53, berkata keputusan tersebut dapat meringankan kos operasi harian yang semakin meningkat bagi mereka yang terlibat dalam industri gig.
“Alhamdulillah, langkah ini memang baik kerana kami banyak bergerak antara satu tempat ke tempat lain dan memerlukan penggunaan bahan api yang tinggi untuk menjana pendapatan,” katanya yang sudah lapan tahun terlibat dalam perkhidmatan e-panggilan.
Pemandu e-hailing separuh masa di Perlis Yusrina Yusoff, 25, pula berkata langkah kerajaan itu membantu kelangsungan pendapatan mereka walaupun berdepan peningkatan kos operasi harian.
Seorang lagi pemandu e-hailing sambilan Muhammad Faiz Ismail, 42, berkata pengekalan itu memberi ruang kepada golongan berkenaan untuk terus bekerja dan menambah pendapatan ketika kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial