AM

"TONGMO" SOSEJ DAGING CITA RASA KEMBOJA TARIKAN BERBUKA PUASA DI KOTA BHARU

15/03/2025 05:22 PM

Oleh Adnan Mohamad

KOTA BHARU, 15 Mac (Bernama) -- Aroma yang membangkitkan selera menyelubungi ruang udara  Kampung Penambang di Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, hasil panggangan sosej daging istimewa atau lebih dikenali sebagai "tongmo"'. 

Tongmo, cita rasa asli Kemboja itu kini popular dalam kalangan masyarakat Melayu Cham yang menetap di kampung berkenaan dan semakin mendapat tempat di hati penduduk tempatan, terutamanya sepanjang Ramadan.

Peniaga tongmo Atyna Za Riza, 36, atau lebih mesra dikenali sebagai "Kak Na Tongmo" berkata permintaan sosej tradisional ini melonjak sejak awal Ramadan. 

"Sejak hari pertama puasa, saya berjaya menjual lebih 42,000 tongmo dalam tempoh seminggu dan yakin jumlah itu akan terus meningkat menjelang penghujung bulan ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Dia berkata keunikan juadah itu terletak pada gabungan rasa masin, manis, pedas serta teksturnya yang kenyal berbanding sosej biasa yang terdapat di pasaran.

"Tongmo diperbuat daripada daging lembu cincang halus yang dicampur dengan rempah khas sebelum dimasukkan ke dalam usus dan diproses mengikut kaedah tradisional.

"Bila dipanggang, aroma daging yang diperap dengan rempah ratus ini memang membangkitkan selera, menjadikannya juadah berbuka yang sangat digemari," katanya.

Atyna berkata asalnya tongmo dicipta sebagai kaedah mengawet daging dalam cuaca panas dan lembap bagi memastikan ia tahan lebih lama tanpa mudah rosak.

"Apabila dipanggang dengan api terbuka, bau dan rasa tongmo menjadi lebih enak, ia boleh dinikmati begitu sahaja dengan pencicah atau dimakan bersama nasi, mengikut selera masing-masing," katanya.

Peniaga itu berkata Ramadan kali ini membawa rezeki lebih lumayan kerana permintaan meningkat berbanding hari biasa. 

"Saya menawarkan dua jenis tongmo iaitu perisa biasa dan ‘tongmo harimau menangis’ yang lebih pedas dengan tambahan lada hitam untuk mereka yang gemarkan rasa lebih berani," katanya.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan, Atyna kini dibantu dua pekerja dan menjual tongmo yang sudah dipanggang pada harga RM10 untuk empat biji manakala versi mentah dijual pada harga RM10 untuk lima biji.

Dengan sambutan semakin hangat, tongmo kini bukan sekadar warisan makanan masyarakat Melayu Cham tetapi turut menjadi juadah ikonik yang menceriakan suasana berbuka puasa di Kelantan.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan