ISTANBUL, 23 Mac (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Lubnan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik sumber rasmi Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan lima orang termasuk seorang kanak-kanak maut manakala 11 lagi cedera dalam serangan udara Israel di bandar Touline, daerah Marjayoun, selatan Lubnan.
Sementara itu, enam orang dilaporkan cedera akibat serangan yang sama di timur Lubnan, khususnya di bandar Housh al-Sayyid dan Saraain di wilayah Baalbek-Hermel.
Sebuah dron Israel dilaporkan menyerang kawasan parkir di kejiranan al-Raml, Tyre pada Sabtu malam, menyebabkan empat orang cedera berdasarkan laporan awal kementerian.
Serangan lain di bandar Yahmor al-Shaqif di daerah Nabatieh mencederakan seorang mangsa, manakala serangan di Kfarkela menyebabkan dua lagi cedera.
Tindakan ketenteraan berlaku selepas Israel mendakwa penempatan Metula diserang roket dari Lubnan, yang kemudian dijadikan alasan untuk melancarkan serangan balas ke atas beberapa kampung dan bandar di selatan negara itu.
Serangan roket ke atas Metula merupakan insiden pertama seumpamanya sejak gencatan senjata antara Israel dan Lubnan berkuat kuasa hampir empat bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai pada November bagi menamatkan konflik rentas sempadan antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang memuncak pada September, Lubnan melaporkan hampir 1,100 pelanggaran oleh Israel.
Serangan itu meragut sekurang-kurangnya 85 nyawa dan mencederakan lebih 280 orang.
Di bawah perjanjian, Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan menjelang 26 Jan, namun tarikh akhir itu dilanjutkan ke 18 Feb selepas Israel enggan mematuhi perjanjian.
Sehingga kini, tentera Israel masih mengekalkan kehadiran mereka di lima pos kawalan sempadan.
-- BERNAMA-ANADOLU