EKONOMI

PENAMPAN MODAL BANK CUKUP UNTUK SERAP POTENSI KENAIKAN KERUGIAN KREDIT SEKTOR PERNIAGAAN

24/03/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Ujian tekanan  yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan bahawa penampan modal bank-bank mencukupi untuk menyerap potensi peningkatan kerugian kredit daripada sektor perniagaan di bawah senario tekanan buruk.

Di samping itu, Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS) dan mekanisme penyelesaian hutang korporat menerusi Akta Syarikat (Pindaan) 2024 terus menyediakan pilihan penstrukturan semula untuk syarikat yang mengalami tekanan kewangan tetapi masih berdaya maju.

Dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2024 (ST2 2024) yang dikeluarkan hari ini oleh BNM, ia berkata kualiti kredit bagi pinjaman perniagaan terus bertambah baik pada separuh kedua  tahun 2024, sekali gus mencerminkan peningkatan yang meluas merentas peminjam perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan bukan PKS.

Nisbah keseluruhan pinjaman perniagaan terjejas menurun kepada 3.1 peratus (Jun 2024: 3.5 peratus), katanya.

"Keadaan pembiayaan kekal menyokong keperluan perniagaan dengan perniagaan terus menggunakan gabungan sumber pendanaan yang stabil.

"Pinjaman perniagaan meningkat sebanyak 5.1 peratus (Jun 2024: 5.7 peratus), didorong terutamanya oleh pinjaman berkaitan pelaburan berikutan keadaan ekonomi yang memberangsangkan," kata BNM.

Selaras dengan perkembangan ini, terbitan bon korporat turut meningkat, lantas menyebabkan bon korporat terkumpul mengalami pertumbuhan tahunan yang lebih tinggi  iaitu sebanyak 3.3 peratus (Jun 2024: 3.2 peratus).

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh sektor pembinaan dan perkilangan untuk modal kerja dan pelaburan baharu, dengan syarikat mengambil peluang berikutan kos pinjaman yang lebih rendah dalam pasaran modal susulan kadar spread hasil bon yang lebih kecil.

Pada masa hadapan, risiko dijangka kekal terurus berikutan prospek permintaan dalam negeri dan eksport yang memberangsangkan meskipun terdapat kebimbangan yang berterusan mengenai keadaan operasi yang mencabar.

Kebimbangan ini termasuk ketidaktentuan berhubung dengan ketegangan geopolitik dan dasar perdagangan antarabangsa, serta persekitaran kos yang tinggi, yang akan mempengaruhi prospek kewangan perniagaan dalam masa terdekat.

BNM berkata cabaran kos yang berterusan, ketidaktentuan berhubung dengan dasar perdagangan global serta perkembangan dasar dalam negeri boleh terus menjejaskan prestasi perniagaan, lantas berpotensi menangguhkan penambahbaikan yang lebih mampan bagi syarikat yang berisiko.

Bagaimanapun, keupayaan untuk membayar balik hutang, termasuk bagi syarikat dalam sektor yang masih menghadapi tekanan kos, terus disokong oleh penampan tunai yang kukuh dengan nisbah tunai kepada hutang jangka pendek menghampiri atau melebihi paras yang pernah dicatatkan sebelum ini, kata bank pusat itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan