AM

TUGAS SELAMATKAN NYAWA LEBIH UTAMA, WALAU TERPAKSA BERAYA DI PERANTAUAN - ANGGOTA SMART

30/03/2025 03:53 PM

SUBANG, 30 Mac (Bernama) -- Semangat dan keazaman dapat dilihat pada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang diberi mandat untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Myanmar, meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika menyambut Aidilfitri.

Seorang anggota SMART PBK I Mohd Idris Hassan berkata panggilan tugas adalah keutamaan, biarpun ia bermakna perlu mengetepikan sambutan perayaan bersama keluarga di kampung halaman.

"Saya sedang bersiap untuk pulang ke Tanah Merah, Kelantan, apabila menerima arahan pada Jumaat lepas. Tanpa berlengah, saya bergegas ke markas SMART dalam masa sejam untuk bersiap sedia ke Myanmar.

"Pada 2023, saya pernah menolak untuk menyertai misi ke Turkiye kerana isteri saya sakit. Kali ini saya tidak mahu melepaskan peluang untuk membantu mereka yang memerlukan. 

“Alhamdulillah, isteri memahami tugas saya yang memerlukan tindakan segera," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan pasukan SMART di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Bagi PBK II Nik Mohd Farihan Nik Zawawi, 38, ini adalah pengalaman pertamanya menyertai misi SAR di luar negara selepas empat tahun bersama SMART.

"Saya dahulukan misi ini kerana membantu mangsa bencana adalah tanggungjawab kami sebagai anggota penyelamat. Insya-Allah, sebaik pulang, saya, isteri dan tiga anak kami akan menyambut Aidilfitri mungkin di kampung saya di Kota Bharu," katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak ketika tidak berada dalam operasi SMART.

Sementara itu, PB Avlyanie Moidi, 28, dari Tuaran, Sabah, yang juga satu-satunya anggota wanita SMART dalam misi kali ini berkata beliau berasa bangga membawa nama Malaysia dalam misi kemanusiaan ini walaupun terpaksa meninggalkan suami dan seorang anaknya.

"Saya diberitahu untuk bersiap pada pukul 2 petang, Jumaat lepas. Meskipun sedih meninggalkan keluarga, saya bersemangat kerana ini adalah satu amanah besar. Suami berpesan supaya saya menjaga diri dan fokus dalam tugas," katanya yang telah berkhidmat dalam SMART selama empat tahun.

Seramai 50 anggota dan pegawai pasukan SMART berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pagi ini bagi misi kemanusiaan serta membantu operasi SAR mangsa gempa bumi di negara itu.

Pasukan yang diketuai komander kontinjen PgKB I Mohamad Hafiezul Abdul Halim terdiri daripada 16 wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (13) dan JBPM (21).

Dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama peralatan SAR termasuk dua unit trak lima tan dan sebuah pacuan empat roda itu berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang, di sini masing-masing pada 9.30 dan 10 pagi tadi.

– BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan