KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Hampir 90 peratus kerja-kerja pembersihan landskap dan infrastruktur di dua kawasan perumahan yang terjejas akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, berjaya diselesaikan dalam tempoh 12 hari.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Datuk Ramli Mohd Tahir berkata ia termasuk pembersihan barangan rumah yang rosak dan dibuang penduduk di kedua-dua Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
“Pembersihan dimulakan sejak hari ketiga kejadian iaitu pada 3 April dan usaha membersihkan sepenuhnya diteruskan lagi dan dijangka selesai minggu ini. Ia melibatkan pembersihan sisa pokok terbakar dan mati yang ditebang, daun-daun kering dan pembersihan jalan tar.
“Tanah dan pasir yang menutupi pembahagi jalan turut dibersihkan menggunakan mesin ‘water jet’,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Ramli berkata KDEBWM bersama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan turut membantu membersihkan peralatan rosak yang dibuang penduduk sebelum dihantar ke tempat pelupusan ketika Ops Mega Pembersihan pada Sabtu dan Ahad lepas.
Operasi pembersihan selama dua hari itu melibatkan lebih 4,000 sukarelawan daripada lebih 20 agensi kerajaan, swasta dan NGO yang digerakkan ke 12 zon di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Semalam Bernama melaporkan hampir 500 tan sisa sampah berjaya dibersihkan dalam Op Mega Pembersihan setakat 2 petang di sekitar kedua-dua kawasan itu susulan insiden kebakaran saluran paip gas 1 April lepas.
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA