KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Seorang ibu dua anak yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri pelbagai barangan runcit, menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi hari ini membebaskannya setelah hukuman dikurangkan kepada penjara enam hari.
Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan ke atas Lini Ahmat, 38, oleh Mahkamah Majistret pada 21 April lepas adalah berat berbanding kesalahan dilakukan.
"Tertuduh juga mengakui dia mencuri kerana terdesak dan hukuman penjara yang telah dilalui selama enam hari adalah memadai, tertuduh dibebaskan pada hari ini," kata hakim itu.
Mahkamah itu menggunakan bidang kuasanya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret dalam kes berkenaan.
Terdahulu, Muniandy beberapa kali menyoal Lini sama ada dia sedar bahawa mencuri adalah satu kesalahan dan menasihati wanita itu supaya mencari pekerjaan untuk menyara hidupnya.
Tertuduh mengakui kesalahannya dan berkata dia telah insaf serta sedang menunggu untuk bekerja sebagai tukang masak di medan selera sebuah pusat beli-belah selepas dibebaskan.
Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah pula berkata hukuman ke atas Lini adalah berlebihan mengikut perkembangan hukuman semasa kerana lazimnya, tertuduh yang telah mengaku bersalah akan dijatuhi hukuman denda atau penjara selama seminggu.
Peguam Collin Andrew dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan berkata anak guamnya sudah insaf dan kesal dengan tindakan yang dilakukan selain memohon hukuman penjara dua bulan ke atas wanita itu diganti dengan tempoh pemenjaraan yang telah dilalui sejak 19 April lepas.
"Anak guam telah berada di penjara selama enam hari sejak dia ditahan pada hari kejadian iaitu 19 April lepas dan fakta kes menunjukkan barangan yang dicuri kebanyakannya adalah makanan serta keperluan asas.
"Tiada sebarang kerugian terlibat kerana kesemua barangan yang diambil telah dipulangkan kepada pasar raya berkenaan," katanya.
Pada 21 April lepas, Lini didakwa mencuri 30 jenis barangan termasuk makanan ringan, produk penjagaan diri serta keperluan harian bernilai RM374.69 dari sebuah pasar raya di Brickfields mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
-- BERNAMA