AM

DRAF PINDAAN AKTA PENJARA KINI DI PERINGKAT JABATAN PEGUAM NEGARA - SAIFUDDIN NASUTION

17/05/2025 06:13 PM

GEORGE TOWN, 17 Mei (Bernama) -- Draf berkaitan pindaan Akta Penjara kini di peringkat semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dijangka dibentang pada sesi Parlimen tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pindaan itu bagi membolehkan pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib ke atas individu yang berada dalam tahanan reman dengan penumpuan bagi kategori bukan kesalahan berat.

“Cadangan untuk meminda akta ini telah diluluskan di peringkat Kabinet secara dasar dan sekarang Jabatan Peguam Negara sedang bangunkan matriks pindaan kemudian baru kita akan bentang di Parlimen.

“Pindaan ini dicadangkan kerana ketika ini, ia hanya untuk hukuman (penjara) ringan di bawah 3 tahun dan kita nak panjangkan hingga 10 tahun,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota di sini hari ini.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib menyempurnakan upacara perasmian majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Saifuddin Nasution juga berkata Akta Tahanan Rumah akan menjadi punca kuasa undang-undang bagi membolehkan Jabatan Penjara melaksanakan tahanan di kediaman secara rasmi dan selepas diluluskan, garis panduan serta peraturan pelaksanaan akan dibangunkan dengan teliti bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan semua pihak terjamin.

Beliau berkata pindaan itu juga adalah sebahagian daripada langkah reformasi sistem pemulihan dan pengurusan penjara dengan pendekatan lebih manusiawi.

“Sekarang kita ada lebih 81,000 prospek di penjara dan 27,000 merupakan tahanan reman. Ramai antara mereka merupakan pesalah ringan yang belum disabit kesalahan. Jadi, undang-undang baharu ini membolehkan tahanan ini menjalani hukuman di rumah dan boleh berada bersama keluarga sambil dipantau, misalnya melalui peranti elektronik sebelum perbicaraan selesai,”katanya

Saifuddin Nasution berkata inisiatif ‘Step Up’ yang dilancarkan hari ini pula adalah usaha berterusan Jabatan Penjara dalam memperkukuh sistem pemulihan dan sokongan terhadap bekas prospek selepas menjalani hukuman.

Beliau berkata kempen itu juga bertujuan menangani stigma masyarakat terhadap individu yang telah dipulihkan dalam sistem penjara dan sedang memulakan kehidupan baharu. 

Saifuddin Nasution turut menekankan bahawa penjara hari ini tidak lagi hanya berperanan menjaga individu ketika menjalani hukuman tetapi turut memainkan peranan aktif selepas mereka dibebaskan. 

Beliau berkata antara langkah yang diambil ialah penubuhan rumah persinggahan sebagai tempat perlindungan sementara bagi bekas banduan yang belum diterima oleh keluarga atau masyarakat dan pada masa sama, menjalani program pemulihan lanjutan sambil bekerja sebagai usaha membina semula keyakinan diri serta kemahiran mereka.

Saifuddin Nasution berkata program itu bukan sahaja membantu prospek kembali ke pangkuan masyarakat secara berperingkat dan terarah malah membuktikan keberkesanannya dalam menurunkan kadar residivis serta memainkan peranan penting bagi mengurangkan kesesakan di penjara.

“Syarikat turut berkolaborasi dalam kempen itu dan setakat ini, ada 1,225 yang mengambil bahagian... ada yang ambil 30 (prospek), ada yang ambil 10 dan ada yang ambil 100,” katanya.

Terdahulu, beliau dianugerahkan Pingat Johan Bakti Setia.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan