Oleh Christine Lim
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Australia menyasarkan peningkatan dalam pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia pada tahun hadapan, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.
Peningkatan pelaburan merupakan antara salah satu objektif Australia di Malaysia, berdasarkan daya tarikan negara itu di rantau ASEAN. "Malaysia berada di kedudukan yang amat baik memandangkan ekonominya sedang berkembang selain mempunyai peluang yang kukuh dalam sektor teknologi," katanya melalui satu temu bual dengan media.
Antara faktor lain yang mempengaruhi adalah penambahbaikan dalam persekitaran kawal selia, kestabilan politik dan set kemahiran serta keupayaan berbilang bahasa, yang turut menjadi elemen penting dalam mempengaruhi keputusan pelabur, katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa pelaburan Malaysia di Australia masih kurang. "Kami sangat terbuka kepada syarikat asing yang beroperasi di Australia dan banyak syarikat Malaysia yang melabur di sini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang," kata Heinecke.
Pesuruhjaya itu sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian di Malaysia untuk memastikan empat perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Australia diterima pakai oleh perniagaan bagi mendapatkan akses yang lebih baik kepada pasaran.
Empat perjanjian perdagangan yang melibatkan Australia dan Malaysia ialah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA), Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
"Kami perlu terus berusaha untuk melakukan lebih banyak lagi dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan di Australia, dan kami akan terus menjalankan program serta menarik syarikat-syarikat kami ke sini bagi melihat segala yang Malaysia tawarkan," katanya.
Bidang tumpuan yang dimaksudkan adalah pelaburan dalam tenaga boleh baharu, penjagaan kesihatan, pembuatan, pendigitalan dan pelaburan ekuiti.
Malaysia merupakan rakan dagangan barangan dan perkhidmatan dua hala terbesar ke-11 Australia, dengan nilai pada paras A$32.8 bilion setakat 2024.
Berdasarkan data Australia, pelaburan Australia di Malaysia pada 2024 berjumlah A$8.76 bilion, dengan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak A$4.44 bilion. Pelaburan Malaysia di Australia setakat 2024 berada pada A$24.08 bilion, dengan FDI berjumlah A$14.11 bilion.
-- BERNAMA
