KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan akan disalurkan bermula 9 Jan ini, dengan beberapa penambahbaikan baharu bagi meningkatkan manfaat kepada penerima.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyaluran itu, melibatkan lima juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, manakala pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang akan bermula pada 16 Jan ini.
Menurut kenyataan itu penerima SARA Bulanan, akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan.
“Secara keseluruhan SARA Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion, meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025.
“Pada tahun ini, sasaran kedai kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir tahun 2025, melengkapi cawangan pasar raya sedia ada,” menurut kenyataan.
MOF turut memaklumkan pelaksanaan SARA Bulanan pada tahun lepas mencatatkan prestasi perbelanjaan hampir 100 peratus oleh penerima, termasuk di kawasan luar bandar.
Selain itu, bantuan SARA untuk Semua sebanyak RM100 secara sekali beri akan disalurkan pada 9 Feb ini, kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas bagi membantu persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan SARA untuk Semua 2025 mencatatkan kadar penggunaan tinggi, apabila 21.2 juta penerima atau 96 peratus telah membelanjakan bantuan tersebut, dengan jumlah perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.
“Seperti yang dijanjikan, baki SARA untuk Semua 2025 yang tidak dibelanjakan sekitar RM150 juta akan disalurkan semula bagi menjamin maslahat golongan rentan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan MOF memaklumkan antara inisiatif yang dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan termasuk mangsa keganasan rumah tangga, bantuan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan keperluan khas.
Selain itu antara inisiatif lain termasuklah pembelian peranti perubatan untuk golongan rentan serta pelaksanaan inisiatif Dapur SISWA bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mendapatkan akses makanan.
SARA untuk Semua merupakan bantuan sekali beri kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, berbeza dengan SARA Bulanan yang disalurkan setiap bulan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan golongan memerlukan.
SARA untuk Semua yang mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan itu melibatkan kira-kira 22 juta warganegara Malaysia, iaitu semua rakyat berumur 18 tahun dan ke atas tanpa mengira pendapatan.
STR Fasa 1 2026 akan mula disalurkan pada 20 Jan depan, melibatkan peruntukan RM1.1 bilion kepada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, penerima akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kelayakan masing-masing.
-- BERNAMA
