KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi individu bagi membantu siasatan ke atas syarikat-syarikat yang dipercayai terlibat dalam rasuah berkaitan urusan pelantikan syarikat kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut sumber, kesemua individu yang ditahan terdiri daripada pengarah syarikat, pengurus serta pemilik syarikat yang dipercayai mempunyai hubungkait dengan syarikat kroni pegawai kanan TLDM berkenaan, yang mendapat kerja-kerja perolehan di TLDM Lumut.
“Perintah reman terhadap kesemua individu berkenaan telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya.
“Mahkamah membenarkan seorang individu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Jan ini, manakala empat individu lain juga direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin mengesahkan penahanan dan perintah reman berkenaan serta menegaskan siasatan dijalankan secara profesional mengikut peruntukan undang-undang.
Pada Isnin lepas, SPRM dilaporkan membekukan 21 akaun bank, termasuk 14 akaun milik beberapa individu, dianggarkan bernilai RM700,000, dipercayai terlibat dalam mengesyorkan dan melantik syarikat kroni pegawai kanan TLDM terbabit.
Menurut sumber, Bahagian Perisikan SPRM menerusi 'Ops Layar' turut menyita dua hotel bajet milik pegawai kanan berkenaan, yang dianggarkan bernilai RM2 juta.
Pada masa sama, SPRM turut membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara bagi mengenal pasti sama ada terdapat tender atau sebut harga yang diterima oleh syarikat-syarikat berkenaan.
Sebelum ini, SPRM menahan seorang pengarah syarikat dan seorang pegawai kanan TLDM kerana disyaki terbabit dalam rasuah bagi mengesyorkan dan melantik syarikat kroni pegawai kanan berkenaan untuk mendapatkan kerja sebut harga di tempatnya bertugas pada Jumaat lepas.
Kedua-dua suspek, yang dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu sejak 2017 sehingga 2020, direman selama tujuh hari sehingga esok selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, pada Jumaat lepas.
-- BERNAMA
