CHUKAI, 16 Feb (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akan membina Pusat Konservasi Tuntung Sungai bernilai RM300,000 di Kampung Pasir Gajah, dekat sini.
Pengerusi KETENGAH Datuk Rozi Mamat berkata pusat konservasi tersebut antara inisiatif pihaknya dalam memperkukuh pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar serta merancakkan pembangunan ekopelancongan di wilayah berkenaan.
"Pusat konservasi ini akan berperanan sebagai stesen penyelidikan hidupan liar khususnya bagi haiwan seperti tuntung sungai, labi-labi, kura-kura dan penyu.
"Malah, pusat konservasi itu turut menjadi rujukan dan lokasi penyelidikan oleh institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta agensi lain, iaitu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah dekat sini hari ini.
Pusat konservasi baharu seluas 335.28 meter persegi itu dilengkapi ruang multimedia, penyelidikan, kolam, tempat pengeraman telur tuntung dan kios jualan.
Rozi berkata pada masa ini terdapat sebuah pusat konservasi sementara menggunakan ruang stor Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah milik KETENGAH sejak 2011.
"Saya difahamkan, pusat konservasi ini yang diuruskan Persatuan Pemuliharaan Penyu Malaysia (TCS) adalah satu-satunya pusat konservasi tuntung sungai yang masih beroperasi di Semenanjung Malaysia.
"Dalam tempoh dua tahun ini, pusat konservasi tersebut telah merekodkan 2,257 pengunjung dan majoritinya terdiri daripada pelancong luar negara," katanya.
Beliau berkata pusat konservasi berkenaan yang beroperasi secara sah, berstruktur dan mematuhi piawaian pemuliharaan hidupan liar di peringkat nasional antara 59 produk ekopelancongan dalam wilayah KETENGAH.
-- BERNAMA
