AM > BERITA

PRK Mahkota: 95.45 Peratus Pengundi Awal Tunai Tanggungjawab - SPR

24/09/2024 07:50 PM

KLUANG, 24 Sept (Bernama) -- Sebanyak 95.45 peratus anggota tentera dan pasangan serta polis   menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan hari ini berkata proses pengundian awal PRK itu melibatkan 4,437 pengundi.

Beliau berkata SPR mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid dan pasukan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik hari ini.

SPR juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk polis, tentera, pihak berkuasa tempatan dan media atas kerjasama serta sokongan kepada suruhanjaya itu. 

Proses pengundian awal berlangsung di tiga pusat mengundi iaitu Dewan Mahkota di Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim di sini.

Semua pusat pengundian awal itu dibuka pada 8 pagi dan ditutup 5 petang.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. 

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan