AM > BERITA

Konsert Legenda Bollywood Udit Narayan Di Kuala Lumpur Disember Ini

24/09/2024 09:57 PM

PETALING JAYA, 24 Sept (Bernama) -- Penyanyi tersohor Bollywood Udit Narayan atau lebih dikenali sebagai “Raja Melodi” bakal bertemu peminatnya di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 Dis ini.

Konsert anjuran VVST Digital Creation itu dijangka membawa peminat lagu-lagu Hindi kembali ke zaman kegemilangan Bollywood menerusi lagu-lagu popular dari era 1990-an hingga sekarang.

Sepanjang kerjayanya selama lebih tiga dekad, Udit telah mengalunkan lebih 25,000 buah lagu dalam 36 dan beliau terkenal sebagai “suara” bagi  “tiga Khan” di Bollywood, iaitu  Datuk Shahrukh Khan, Salman Khan dan Aamir Khan serta beberapa pelakon terkenal lain dalam industri filem India.

Karier beliau melonjak menerusi lagu "Papa Kehte Hain"  daripada filem Qayamat Se Qayamat Tak.

Konsert ini adalah persembahan pertama beliau di Kuala Lumpur dalam tempoh 12 tahun dengan kali terakhir beliau membuat penampilan di majlis persendirian.  

Dalam satu klip video pendek, Udit berkata beliau tidak sabar untuk kembali ke Malaysia dan bertemu semula peminatnya.

Pengarah Urusan VVST Digital Creation  P. Gunasegaran berkata mereka menjangkakan kehadiran sekitar 4,000 penonton.

“Kita juga akan tampilkan tiga lagi penyanyi Bollywood untuk berkongsi pentas dengan Udit selain beberapa penyanyi popular Malaysia,” katanya pada sidang media konsert itu, di sini hari ini.

Ada beberapa pilihan tiket ditawarkan, iaitu pakej eksklusif  MIP berharga RM1,466 (promosi awal RM1,266), VVIP pada harga RM1,266 (promosi awal RM1,066)  dan VIP berharga RM1,022 (promosi awal RM888).

Lain-lain termasuk Diamond 1 (RM525, promosi awal RM456), Diamond 2 (RM421, promosi awal RM366), Platinum (RM345, promosi awal RM300), Gold (RM294, promosi awal RM255), Silver (RM217, promosi awal RM188) dan Bronze (RM148, promosi awal RM128).

Harga promosi awal ini sah dari 24 hingga 30 Sept. Tiket boleh dibeli menerusi platform My Ticket Asia  https://myticket.asia/ atau  vvstdigital@gmail.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan