AM > BERITA

NACSA Sedia Hadapi Ancaman Siber Lebih Kerap Tahun Depan

25/09/2024 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bersedia menghadapi sebarang ancaman siber yang dijangka berlaku secara lebih kerap pada tahun depan.

Ketua Pegawai NACSA Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata ia berikutan kewajiban entiti di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) melaporkan sebarang insiden ancaman siber yang diwartakan dalam Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) berkuat kuasa Ogos lepas.

“Bagaimanapun, kita tidak melihat bahawa bilangan insiden yang dilaporkan sebagai indikasi sama ada kita mempunyai ancaman besar atau tidak.

“Yang lebih penting adalah bagaimana kita mengawal dan memastikan sebarang insiden yang berlaku tidak memberikan impak kritikal kepada negara dan rakyat,” katanya sebagai tetamu dalam program ‘Jendela Fikir: Memperkukuh Keselamatan Siber’ terbitan Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata ini kerana sifat ancaman siber menjadi lebih rumit dan canggih walaupun bilangan insiden mencatatkan penurunan setiap tahun.

Dalam pada itu, Megat Zuhairy berkata elemen panik memberi kesan yang ketara dalam aspek keselamatan siber dan sebarang laporan kejadian insiden melibatkan sesebuah agensi atau entiti tidak boleh dinafikan sekiranya dibuktikan betul.

“Di sini, pelan komunikasi amat penting. Kita perlu menyampaikan fakta kejadian dan segera mengambil tindakan supaya impak yang lebih besar tidak berlaku,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa rakyat Malaysia masih tidak sedar akan kepentingan amalan kebersihan siber dalam aktiviti atas talian.

“Contohnya, bila kadang-kadang kita terima SMS atau teks melalui aplikasi pesanan, ia kemungkinan mengandungi phishing link yang mendedahkan kita kepada ancaman siber, termasuk pengambilan maklumat peribadi serta perbankan dalam telefon pintar.

“Sebab itu program-program kesedaran dalam aspek itu kita cuba perkuatkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan