AM > BERITA

GISBH: MCMC Pantau Media Sosial, Turunkan Kandungan Jika Ada Arahan Polis - Fahmi

25/09/2024 06:05 PM

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menurunkan sebarang kandungan berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) termasuk lagu yang tular jika mendapat arahan untuk berbuat demikian daripada pihak polis. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau juga telah meminta MCMC meneliti dan memantau kandungan di media sosial yang berkaitan dengan GISBH.

"Terdapat klip video lagu daripada pelbagai kumpulan sampai jadi 'earworms', ada versi rock, ada versi macam-macam," katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut dimaklumkan GISBH telah beberapa kali berubah entiti dipercayai bagi menyamarkan aktiviti mereka.

"Jadi tidak boleh dinafikan media sosial memainkan peranan dalam usaha membanteras kegiatan seperti (yang dijalankan) GISBH," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis baru-baru ini memutuskan bahawa fahaman yang didukung oleh GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya dari segi batiniah dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia juga adalah kesinambungan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Polis yang melaksanakan Op Global sejak 11 Sept menyelamatkan 572 kanak-kanak dan remaja yang disyaki mangsa eksploitasi syarikat itu manakala Op Global Fasa Empat pada Sabtu lepas, menyaksikan pelbagai jenis buku, dokumen dan gambar berkaitan ajaran Al-Arqam serta GISBH dirampas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan