AM > BERITA

PM Anwar Ucap Tahniah Kejayaan Penganjuran MAHA 2024 - Fahmi

25/09/2024 06:08 PM

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu dizahirkan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah dimulakan dengan ucapan tahniah dan terima kasih oleh Perdana Menteri kepada pasukan KPKM di atas kejayaan pelaksanaan MAHA 2024, yang telah menarik lebih 5.5 juta pengunjung dengan jualan melebihi RM48.5 juta serta nilai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) lebih daripada RM7.2 bilion.

“Ini pencapaian yang sangat-sangat baik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meminta beberapa pavilion rumah negeri yang dibina sekitar pekarangan kawasan MAHA dipertimbangkan untuk dikekalkan.

Fahmi berkata memandangkan Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan, maka pavilion negeri itu boleh menjadi tapak lawatan bagi delegasi yang datang ke negara ini.

“Tapi ini cadangan yang dibangkitkan, untuk maklumat lanjut boleh rujuk kepada pihak KPKM,” katanya sambil menambah Perdana Menteri sangat teruja dengan penganjuran dan juga kehadiran pada program MAHA tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan berkenaan isu berkaitan kebajikan komuniti India.

Beliau berkata Perdana Menteri bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo telah mengadakan pertemuan dengan sejumlah ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Senator daripada komuniti India, semalam.

“Banyak perkara dibincangkan, antaranya isu yang telah diumum oleh Perdana Menteri seperti peruntukan RM20 juta untuk pembinaan sejumlah krematorium di beberapa negeri dan perkara-perkara berkaitan usaha kerajaan bagi menangani masalah seperti kewarganegaraan dan isu biasiswa.

“Ada beberapa perkara lain juga dibincangkan hari ini melibatkan ketua kampung India dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, telah diminta untuk mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan