AM > BERITA

PM Hulur Sumbangan Peribadi Kepada Pelajar Cemerlang STPM Kurang Mampu Di Tanah Merah

25/09/2024 10:28 PM

TANAH MERAH, 25 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghulurkan sumbangan peribadi kepada Siti Zulaikha Anuar yang berdepan masalah kewangan untuk mendaftar selepas ditawarkan mengikuti pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Jumaat ini.

Pengerusi MyMADANI Tanah Merah Wan Ibrahim Wan Yusoff, yang mewakili Anwar, berkata sumbangan itu diberikan selepas Siti Zulaikha menghantar surat memohon bantuan kepada Perdana Menteri menerusi sebuah badan bukan kerajaan.

Beliau berkata sumbangan itu sebagai persediaan untuk Siti Zulaikha, 20, yang ditawar melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Dalam Bimbingan dan Kaunseling, memasuki UIAM.

"Sumbangan ini merupakan sumbangan prihatin daripada Perdana Menteri terutamanya dalam pendidikan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Pihak saya menerima surat daripada pelajar itu pada Ogos lepas dan Perdana Menteri semalam terus mengarahkan saya untuk menyampaikan sumbangan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar berkenaan," katanya kepada pemberita di rumah pelajar itu di Kampung Bukit Gading di sini.

Wan Ibrahim juga berkata Siti Zulaikha amat bertuah kerana mendapat sumbangan terus daripada pemimpin nombor satu negara yang mampu meringankan bebanan keluarga pelajar berkenaan untuk melakukan persiapan mendaftarkan diri ke universiti.

Siti Zulaikha pula berkata beliau tidak menyangka akan menerima sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri selepas menghantar surat itu pada 29 Ogos lepas.

Beliau berkata idea itu dicetuskan oleh seorang anggota NGO.

"Saya amat terkejut kerana mendapat sumbangan ini dan berterima kasih kepada Perdana Menteri," kata anak kesembilan daripada 12 beradik itu.

Siti Zulaikha adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 2 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun lepas.

Ibu bapanya tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada adik-beradik lain selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan