AM > BERITA

Isu Cuaca Ekstrem Antara Agenda Seminar Keselamatan Makanan Ke-11

25/09/2024 10:27 PM

JOHOR BAHRU, 25 Sept (Bernama) --  Isu cuaca ekstrem, peningkatan suhu global dan perubahan taburan hujan diangkat sebagai agenda utama Seminar Keselamatan Makanan kali ke-11 anjuran Agensi Nuklear Malaysia di sini hari ini. 

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Rosli Darmawan berkata seminar bertemakan ‘Mencapai Kelestarian Makanan di Era Perubahan Iklim’ itu diadakan untuk membincangkan pelbagai topik berkaitan fenomena yang menyebabkan gangguan besar terhadap pertanian dan pengeluaran makanan.

Beliau berkata antara topik yang dibincang ialah keselamatan makanan, pengurusan kualiti, aspek halal, undang-undang, teknologi pemprosesan, analisis serta masa depan industri bagi meningkatkan kefahaman dan memperkukuh daya tahan sektor makanan negara.

“Kombinasi teknologi nuklear, dasar yang kukuh dan inovasi dalam pertanian adalah kunci untuk mencapai kelestarian makanan walaupun di tengah-tengah cabaran perubahan iklim yang semakin kritikal,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Rosli berkata inisiatif Atoms4Food, yang disokong oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, membuka peluang bagi memperkukuh keselamatan makanan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Beliau berkata berdasarkan trend amalan dan penggunaan semasa pengeluaran pertanian dijangka meningkat kira-kira 70 peratus pada 2050 dan bagi memenuhi permintaan itu, Malaysia perlu memperkukuh infrastrukturnya dengan mengetengahkan teknik nuklear yang inovatif.

“Ia seperti pembiakan mutasi tumbuhan untuk menghasilkan varieti tanaman baharu yang lebih baik serta penanda molekul untuk perincian makanan dan pemantauan terperinci keadaan tanah serta alam sekitar yang terjejas akibat perubahan iklim. 

“Selain itu, teknik serangga mandul digunakan untuk mengawal perosak seperti lalat buah sementara isotop turut membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Gabungan teknologi ini memastikan sektor pertanian lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Seminar kali ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian (MARDI) serta Universiti Kebangsaan Malaysia selain pihak industri yang diwakili Farm Fresh Milk Sdn Bhd.

Rosli juga berkata Agensi Nuklear Malaysia komited untuk mengarusperdanakan teknologi nuklear dalam sektor pertanian Malaysia sekali gus memperkasa daya tahan sektor makanan negara bagi mendepani cabaran perubahan iklim yang semakin kompleks.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan