AM > BERITA

Sultan Selangor Disembah Maklum Permohonan Maaf Sanusi

26/09/2024 02:42 PM

SHAH ALAM, 26 Sept (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum mengenai surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

Selangor Royal Office menerusi hantaran di Facebook memaklumkan surat bertarikh 25 Sept itu antara lain memuatkan permohonan ampun atas kenyataan beliau seperti dituduh di mahkamah, yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor. 

"Sanusi turut mengakui bahawa kenyataan itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan mengguris hati dan perasaan Sultan Sharafuddin, dan beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang timbul daripada kenyataan tersebut," menurut hantaran itu. 

Turut dimuat naik bersama hantaran itu ialah surat permohonan maaf berkenaan. 

Semalam, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar, Kedah, Muhammad Sanusi telah memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor berikutan kenyataan beliau pada Julai tahun lepas yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda.

Beliau turut memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan rakyat negeri itu atas keterlanjuran kata-kata beliau. 

Pada 11 Julai 2023, tular video ceramah Muhammad Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah di Gombak. 

Pada 29 Feb lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan