AM > BERITA

Enam Premis Perniagaan Disyaki Berkaitan GISBH Dikesan Di Perlis

26/09/2024 07:40 PM

KANGAR, 26 Sept (Bernama) -- Sebanyak enam premis perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dikesan sekitar Perlis berdasarkan semakan Majlis Perbandaran Kangar Perlis (MPKPs).

 Yang Dipertua MPKPs Affendi Rajini Kanth berkata bagaimanapun hasil pemantauan pihaknya mendapati semua premis itu tidak lagi beroperasi sehari selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

“Pihak Majlis memantau dari segi lesen premis dan pematuhan kepada syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kangar. Berdasarkan rekod, kesemua premis ini mematuhi prosedur ditetapkan, beroperasi dengan lesen sah sebelum ini,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Namun, Affendi berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa sekiranya  wujud premis perniagaan lain di negeri itu yang disyaki berkaitan GISBH.

Bernama sebelum ini melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) merampas 63 barangan berkaitan ajaran sesat berunsur batiniah dalam operasi bersepadu di dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH di sekitar Perlis pada Sabtu lepas.

Pengarah JAIPs Najmuddin Abdul Karim berkata operasi itu dilaksanakan bagi tujuan penguatkuasaan selaras dengan Fatwa Ajaran Sesat Berunsur Batiniah yang diwartakan pada 28 Ogos 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan