AM > BERITA

Tindakan Terhadap GISBH Di Sabah, Sarawak Akan Mula Dilaksana

26/09/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Tindakan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) terus diperhebat dengan operasi akan turut dilakukan di Sabah dan Sarawak selepas pelbagai pendedahan serta penemuan jenayah dan kesalahan disyaki dilakukan oleh organisasi itu di Semenanjung Malaysia.

Siasatan Polis Diraja Malaysia mendapati premis yang dikaitkan dengan GISBH di kedua-dua negeri di Kepulauan Borneo itu didapati tidak lagi beroperasi namun polis akan terus mengesan individu yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Hussain turut mencadangkan agar tindakan geledah serta sita dilakukan terhadap premis terbabit dan polis akan memberi bantuan sepenuhnya kepada agensi berkaitan melalui undang-undang dan peruntukan sedia ada di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, siasatan terhadap GISBH terus membongkar kesalahan organisasi berkenaan antaranya 12 syarikat dikesan tidak menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan yang telah diaudit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kompaun berjumlah RM4.4 juta dikenakan terhadap syarikat terbabit atas kesalahan itu.

Polis juga sedang meneliti tindakan yang boleh diambil berhubung 10 laporan pekerja di premis GISBH yang mendakwa tidak dibayar gaji membabitkan mangsa berusia 14 hingga 20 tahun.

Lanjutan reman selama lima hari bermula esok hingga Selasa depan terhadap tujuh suspek berkaitan GISBH yang ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 turut diperoleh.

Seorang mudir sekolah integrasi di Pasir Puteh, Kelantan turut direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan syarikat itu.

Bagi pendakwaan di mahkamah pula, seramai lapan individu telah dituduh setakat ini dengan yang terbaharu di Mahkamah Sesyen Klang hari ini membabitkan seorang guru agama yang dipenjara 10 tahun kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa.

Pertuduhan terhadap lelaki itu adalah susulan siasatan polis sejak 16 Sept selepas tular rakaman video memaparkan kanak-kanak lelaki dilihat mengerang kesakitan dipercayai akibat dada dan lehernya ditekan oleh suspek dengan lutut.

Jabatan Mufti Negeri Kelantan pula sedang mengumpul bukti serta elemen baharu yang boleh mengaitkan GISBH sebagai kumpulan ajaran sesat sebelum memutuskan sebarang fatwa terhadap kepercayaan dan ajaran organisasi itu.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu namun pada masa sama, beliau menasihati masyarakat Islam supaya berhati-hati dengan ajaran GISBH yang didakwa mempunyai kesinambungan ajaran Al-Arqam.

Sabtu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang dari Selasa lepas hingga hari ini.

Pada 20 Sept, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa fahaman yang didukung oleh GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya dari segi batiniah dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia juga adalah kesinambungan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Polis mengadakan serbuan Op Global pada 11 Sept lepas terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan GISBH. 

Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan