AM > BERITA

Kejohanan MSSM: Pastikan Berjalan Lancar, Bebas Kemudaratan - KP Pendidikan

25/02/2025 06:56 PM

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Semua pihak termasuk guru dan jurulatih diminta memainkan tanggungjawab serta peranan besar bagi memastikan pengelolaan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 berjalan lancar serta bebas daripada sebarang kemudaratan. 

Ketua Pengarah (KP) Pendidikan Azman Adnan berkata mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan persekitaran sukan yang bebas daripada gangguan seksual, penderaan fizikal dan psikologi, penindasan, pengabaian, buli serta antun. 

“Suasana seperti ini perlu diwujudkan demi pembangunan potensi atlet murid ke tahap optimum.

“Barisan jurulatih diseru untuk menitikberatkan aspek persekitaran dan fizikal yang selamat termasuk pencegahan bahaya fizikal dan anggota badan,” katanya ketika berucap melancarkan Takwim MSSM 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata pengelolaan MSSM juga memerlukan pendekatan  komprehensif dan bersepadu, merangkumi pelbagai aspek seperti perancangan, pelaksanaan dan penilaian. 

“Ini termasuk penambahbaikan dalam sistem pendaftaran peserta, pengurusan tempat pertandingan dan kemudahan, pengurusan kewangan serta sistem pengadilan lebih telus dan adil.

“Teknologi maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kecekapan pengurusan, contohnya melalui sistem pendaftaran, pengurusan data dan pemakluman keputusan secara langsung dalam talian,” katanya. 

Azman berkata penggunaan data dan analisis prestasi antara elemen penting dalam menambah baik pengelolaan kejohanan. 

“Data yang dikumpul sepanjang kejohanan seperti statistik penyertaan, prestasi atlet dan keputusan pertandingan perlu dianalisis untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pengelolaan kejohanan. Dapatan analisis ini perlu digunakan untuk membuat penambahbaikan bagi kejohanan akan datang,” katanya.

Beliau berkata Kejohanan MSSM bukan sekadar pertandingan tetapi platform untuk mencungkil bakat, membentuk sahsiah dan melahirkan generasi atlet cemerlang. 

Azman berkata kejohanan MSSM 2024 mencatat kejayaan membanggakan dengan penyertaan 15,963 individu terdiri daripada 12,259 murid dan 3,704 pegawai. 

“Bagi tahun ini, kita menyasarkan penyertaan yang lebih ramai berbanding tahun lepas. Ini memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak untuk mempromosikan Kejohanan MSSM dengan lebih berkesan.

“Kementerian Pendidikan (KPM) ingin memberi perhatian kepada murid kurang aktif supaya mereka dapat melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan,” katanya.

Dalam sidang media berasingan, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSSK) KPM Ithnin Mahadi berkata pihaknya sedang mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai cadangan memasukkan sukan futsal dalam Kejohanan MSSM akan datang.

“Kita ada kerjasama dan mereka (penggiat sukan futsal) datang berbincang dengan BSKK (mengenai cadangan itu),” katanya. 

Portal berita sebelum ini melaporkan penggiat futsal tanah air meluahkan kekecewaan kerana sukan futsal itu masih belum mempunyai kejohanan yang ‘diiktiraf’ di peringkat sekolah dan Kejohanan MSSM.

Kejohanan MSSM 2025 akan bermula pada Mei dan berakhir September melibatkan 14 negeri selaku pengelola 24 sukan yang dipertandingkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan