AM > BERITA

Ribut: 1,500 Murid SRA Kampung Medan Jalani PdPR

17/10/2025 09:40 PM

KUALA LANGAT, 17 Okt (Bernama) -- Semua 1,500 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, Telok Panglima Garang di sini meneruskan pembelajaran menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas bangunan sekolah itu rosak teruk akibat kejadian ribut pada Rabu lepas.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah itu dibuat bagi menjamin keselamatan warga sekolah termasuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan baik pulih struktur bangunan yang mengalami kerosakan.

“Saya difahamkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberi cuti kepada murid-murid selama dua minggu kerana kejadian ribut tempoh hari, namun 200 orang murid Tahun Lima perlu hadir ke sekolah pada Khamis depan.

“Mereka akan menduduki Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) dan kami akan pastikan ada kelas sesuai bagi tujuan itu,” katanya selepas melawat sekolah itu di sini hari ini.

Terdahulu, Mohammad Fahmi diiringi pengurusan sekolah dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meluangkan masa hampir sejam meninjau kemusnahan yang berlaku dan mengumpul maklumat untuk dibawa ke peringkat atasan bagi proses bantuan susulan.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian, sebuah surau yang berada di dalam kawasan sekolah itu memerlukan pembinaan semula, manakala sebuah kelas hanya perlu dibaik pulih.

“Bagi kelas pada bahagian hadapan kebanyakannya rosak pada bahagian bumbung, manakala pendawaian pula seelok-eloknya diganti termasuk perabot bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini.

“Dua blok lain pula hanya siling yang terjejas, namun Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan pemeriksaan terperinci kerana dikhuatiri sistem pendawaian boleh menyebabkan renjatan elektrik atau kebocoran sekiranya hujan,” katanya.

Mohammad Fahmi berkata JAIS juga menyalurkan bantuan RM18,000 menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRA Kampung Medan bagi murid yang terjejas serta pembangunan sekolah. 

Beliau berkata Halal International Selangor juga menyerahkan sumbangan RM1,300 setiap seorang kepada 13 murid yang tercedera dalam kejadian itu.

Dalam kejadian pada 4.15 petang Rabu lepas, sebanyak enam sekolah, sebuah dewan dan lebih 40 rumah dilaporkan musnah akibat dipukul ribut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan