AM > BERITA

Kesihatan Dan Keselamatan Pekerja Tanggungjawab Semua Pihak – Dzulkefly

13/11/2025 03:43 PM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bukan sahaja tanggungjawab bersama pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) malah menjadi keutamaan dalam aspek kesihatan negara, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata setiap pekerja berhak untuk keluar bekerja dan pulang ke rumah dalam keadaan sihat,  sejahtera serta bebas daripada sebarang kecederaan atau penyakit yang berpunca daripada tempat kerja.

“Kalian punya tanggungjawab besar dalam memberikan perlindungan yang besar kepada pekerja dari segi kecederaan dan penyakit. Saya tegaskan bahawa setiap seorang daripada pekerja mempunyai hak untuk dilindungi di tempat kerja, dan itu asas kepada apa yang kita maksudkan kepada keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Anugerah MSOSH ) ke-43 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat.

Dzulkefly berkata pelaburan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sekadar kewajipan undang-undang malah penentu kepada tahap produktiviti dan daya saing sesebuah organisasi.

“Keselamatan di tempat kerja adalah tanggungjawab moral berkait dengan keperluan undang-undang malah menjadi sebahagian daripada komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG),” katanya. 

Dalam konteks Revolusi Industri 4.0, beliau turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi membawa bersama risiko baharu kepada pekerja, justeru pendekatan keselamatan perlu disesuaikan dengan keperluan semasa.

“Kita perlu beralih daripada paradigma ‘lapor dan tindak’ kepada pendekatan baharu yang menggunakan ramalan risiko melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data. Ia penting bagi membolehkan syarikat meramal bahaya serta mengurangkan risiko kepada pekerja,” katanya.

Anugerah MSOSH anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia menjadi wadah utama bagi mengiktiraf organisasi dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam amalan OSH di Malaysia.

Sejak diperkenalkan pada 1982, Anugerah MSOSH bukan sekadar pertandingan tetapi satu perjalanan pembangunan budaya kerja yang selamat dan sihat merentas sektor industri negara.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut menyampaikan Anugerah Tokoh Keselamatan dan Kesihatan Pekerja kepada Shamsul Azri.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan