AM > BERITA

PDRM Digesa Adaptasi Teknologi AI, Perkukuh Kecekapan Operasi - Saifuddin Nasution

13/11/2025 03:12 PM

SEPANG, 13 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang akan menjadi pemangkin baharu dalam memperkukuh kecekapan dan ketepatan operasi pasukan Sang Saka Biru itu, khususnya dalam pengurusan data trafik dan keselamatan jalan raya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggunaan aplikasi AI mampu membantu pasukan polis memproses serta menganalisis maklumat dengan pantas dan tepat, termasuk bagi mengenal pasti saman serta kompaun trafik tertunggak yang kini mencecah RM6 bilion.

“Saya pernah pesan untuk isu itu, kita jangan warisi legasi rekod lama, RM6 bilion itu sejak tahun bila? Mungkin pesalah pun ada yang dah meninggal dunia.

“Kalau kita guna enjin aplikasi AI, dalam masa yang singkat sahaja kita boleh proses data itu dan padankan dengan rekod kematian Jabatan Pendaftaran Negara. Dari situ, kita akan dapat data yang lebih tepat dan jernih,” katanya ketita berucap merasmikan Dialog Khas PDRM IV 2025 di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Saifuddin Nasution berkata perkara itu perlu dibuat segera kerana langkah itu penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak bergantung kepada data lama yang mungkin tidak lagi relevan, selain membantu menambah baik keberkesanan operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Beliau berkata penggunaan AI sebagai satu bentuk revolusi teknologi baharu yang mampu memperkasakan sistem keselamatan, pentadbiran dan penguatkuasaan negara, sebagaimana revolusi besar yang pernah dibawa oleh serbuk letupan dan mesin cetak dalam sejarah manusia.

Gunpowder mencetuskan revolusi kuasa, mesin cetak mencetuskan revolusi ilmu, dan sekarang AI membawa revolusi baharu yang boleh kita kuasai tanpa perlu penguasaan bahasa Inggeris yang sempurna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata laporan awal berhubung insiden bot membawa pendatang tanpa izin yang karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, baru-baru ini, akan dibentangkan di Mesyuarat Kabinet esok.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meminta beliau membentangkan laporan awal susulan kejadian itu yang kini meragut 25 nyawa setakat semalam.

Negara kini menjadi tumpuan media termasuk media antarabangsa susulan kejadian pada 6 Nov lepas, membabitkan kira-kira 300 penumpang imigran karam di Pulau Tarutao di kawasan perairan sebelum sempadan Thailand-Malaysia.

“Itu satu tragedi yang saya kena bentangkan esok, laporan awal kepada Jemaah Menteri. Saya diminta Perdana Menteri untuk sampaikan kerana ia membabitkan jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan segala macam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan