AM > BERITA

Malaysia Perlu Bergerak Pantas Jadi Hab Semikonduktor - PM Anwar

13/11/2025 04:14 PM

BANGI, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia mesti bergerak pantas untuk menjadi hab semikonduktor dan teknologi digital serantau seiring dengan perkembangan pesat bidang kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kemajuan teknologi baharu perlu dikuasai dan dimanfaatkan bagi pembangunan serta ekonomi negara.

“Kita tidak boleh terlambat, Malaysia mesti menjadi hab semikonduktor dan mesti kejar dengan cara yang sangat pantas untuk menguasai teknologi yang disebut teknologi baharu digital dan kecerdasan buatan,” kata beliau.

Anwar berkata semua pihak termasuk mahasiswa Fakulti Pengajian Islam perlu mendalami bidang semikonduktor yang menawarkan peluang baharu dan menjanjikan manfaat ekonomi yang besar.

“(Perlu ada) satu resipi baharu atau subjek baharu dalam Fakulti Pengajian Islam. Kita tidak boleh ikut langkah lama kerana dalam masa setahun perubahan AI itu sudah tiga kali ganda,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa dasar negara tentang semikonduktor harus jelas, sambil menzahirkan rasa syukur kerana keamanan dan kestabilan politik negara membolehkan dasar itu dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. 

Sebelum ini, Anwar berkata industri elektrik dan elektronik serta semikonduktor negara memerlukan sokongan rangkaian antarabangsa yang kukuh, termasuk kerjasama dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, untuk memastikan pertumbuhan berterusan. 

Konvensyen Pengajian Islam IPT Antarabangsa 2025 itu ialah perhimpunan ilmuwan dan pemimpin akademik negara bagi menzahirkan keutuhan ilmu, hikmah dan perpaduan dalam memperkasakan pengajian Islam di Malaysia.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan