Oleh Lucia Terrey Anak John
KOTA KINABALU, 13 Nov (Bernama) -- Di sebalik deretan bangunan kayu dua tingkat di Pekan Tamparuli, Tuaran, tersimpan sejarah tersembunyi apabila struktur warisan itu pernah dijadikan tempat perlindungan penduduk tempatan semasa era penjajahan British.
Tangga kayu yang boleh diturunkan dari loteng ke tingkat bawah berfungsi sebagai laluan rahsia untuk keluar, manakala ruang atas rumah kedai dijadikan tempat persembunyian yang selamat.
Kini, hampir 80 tahun berlalu, struktur asal bangunan itu masih kukuh berdiri bukan sahaja sebagai bukti sejarah, tetapi juga simbol keteguhan warisan masyarakat Tamparuli.
Antara bangunan yang masih mengekalkan ciri asalnya ialah Kedai Serbaneka Yeun Halp Kee, milik keluarga Francis Chu, 70, yang telah beroperasi sejak 1954.
“Rumah-rumah kedai di sini (pekan) sudah lama, ada kira-kira 30 buah semuanya dan dibina selepas Perang Dunia Kedua.
“Dahulu, bangunannya hanya kayu, tetapi selepas kebakaran pada 2008, ada bahagian seperti tangga diganti dengan simen, tetapi seni binanya masih dikekalkan dalam bentuk asal,” kata Chu kepada Bernama baru-baru ini.
Chu yang merupakan generasi ketiga meneruskan perniagaan keluarga mereka berkongsi bahawa dia pernah berniat untuk menggantikan papan lapis yang uzur dimakan anai-anai di siling rumah kedai itu pada 1996.
Bagaimanapun, niatnya tidak kesampaian selepas dilarang oleh mendiang bapanya yang berpesan, "Apa yang kau buat itu? Jangan diubah-ubah bah. Kasi (biar) original saja sebab (struktur) itu daripada datuk kau, saya dan kau sekarang".
Katanya, dia bersyukur mengikut pesanan itu kerana kini kedainya menjadi antara tarikan pelancong yang berkunjung ke Pekan Tamparuli.
Oleh sebab pesona klasik yang tidak dimamah zaman, Chu berkata kawasan deretan kedai itu juga sering menjadi pilihan syarikat produksi filem dan dokumentari sebagai lokasi penggambaran.
"Selain kru penggambaran, orang putih (pelancong asing) pun ramai datang ambil gambar. Selepas melawat Jambatan Gantung Tamparuli, mereka akan singgah ke sini untuk makan dan membeli sedikit barang sebelum meneruskan perjalanan ke Kundasang," katanya.
Melalui pemerhatian Bernama, memang benar apa yang dikatakan Chu kerana deretan bangunan dua tingkat itu masih mengekalkan aura klasiknya dengan tingkat bawah digunakan bagi tujuan perniagaan, manakala tingkat atas dijadikan kediaman pemilik.
Struktur kayu hutan tempatan, bumbung pelana berbentuk A, serta tingkap kayu berbelah pula masih kekal, membolehkan pengudaraan semula jadi yang baik.
Siti Nurhalimah Sirajuddin, 25, anak muda Tamparuli pula meluahkan kebanggaannya terhadap reka bentuk serta sejarah tersembunyi di sebalik deretan bangunan berkenaan.
“Jarang kamu boleh jumpa kedai-kedai lama seperti ini yang antik. Kami orang Tamparuli sangat bertuah dan berharap bangunan ini boleh dikekalkan sampai bila-bila untuk tatapan generasi seterusnya," katanya.
Pekan Tamparuli, kira-kira 30 kilometer dari Kota Kinabalu terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, yang bakal melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial