BANGI, 22 Nov (Bernama) -- Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) melancarkan Persatuan Kepimpinan dan Jaringan Alumni UKM-GSB (ALFA) sebagai platform bagi graduan dan alumni berkongsi kepakaran, membina kepimpinan serta memperkukuh jaringan profesional.
Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul berkata ALFA juga berperanan sebagai pemangkin hubungan strategik antara alumni, industri dan universiti menerusi sumbangan intelektual, kepakaran industri dan jaringan profesional.
“ALFA ini ditubuhkan untuk mengukuhkan jaringan dan rangkaian alumni merentas negara serta mewujudkan ekosistem pembangunan profesional dan kepimpinan.
“Diharap dengan penubuhan persatuan alumni ini, kami dapat menyerlahkan lagi jenama UKM-GSB di peringkat global dan memberikan keyakinan kepada masyarakat tentang sumbangan UKM-GSB kepada industri dan komuniti,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan ALFA di sini.
Pelancaran ALFA dibuat bersempena Program Makan Malam dan Penghargaan Graduan UKM-GSB yang meraikan pencapaian akademik graduan serta menandakan kemasukan mereka sebagai ahli rasmi persatuan itu.
Profesor Zafir berkata UKM-GSB telah mencatat pelbagai pencapaian antarabangsa termasuk, akreditasi penuh The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow, a 21st Century Organization (ABEST21) sejak 2015 dan baru-baru ini berjaya memperoleh Anugerah Antarabangsa Kaizen 2024.
Selain itu, institusi berkenaan turut memperoleh akreditasi penuh Association to Advance Collegiate School of Business (AACSB) sejak 2018 serta berjaya memperoleh pelanjutan enam tahun lagi sehingga 2031 yang membuktikan komitmen UKM-GSB dalam menyediakan pendidikan siswazah bidang pengurusan perniagaan bertaraf dunia.
“UKM-GSB juga tersenarai dalam QS Global MBA Rankings 2026 berada pada kedudukan 151 hingga 200 dunia, menjadikannya sekolah perniagaan kedua terbaik di Malaysia dan ke-23 terbaik di Asia. Pencapaian ini membuktikan program MBA yang ditawarkan berkualiti tinggi dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata UKM-GSB turut memperluas jaringan akademik melalui keahlian dalam Yayasan Eropah dalam Pembangunan Pengurusan (EFMD) dan Persatuan Sekolah Perniagaan Asia Pasifik (AAPBS), selain kerjasama strategik dengan Emerald Group Publishing dan Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF).
“Hasilnya, dua tokoh akademik UKM-GSB iaitu Profesor Ts Dr Mohd Helmi Ali dan Profesor Madya Dr Abdullah Mamun tersenarai sebagai antara dua peratus saintis terbaik dunia bagi 2025 oleh Stanford University dan Elsevier, menunjukkan kemampuan penyelidik UKM-GSB di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Presiden ALFA Muhammad Hazwan Hussein berkata selain membolehkan alumni berkongsi kepakaran dan pengalaman, ALFA membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada graduan.
Beliau berkata alumni persatuan itu terdiri daripada pelbagai sektor industri termasuk korporat, usahawan dan organisasi kerajaan yang membolehkan graduan memperoleh pemahaman mendalam mengenai situasi sebenar di pasaran kerja, sekali gus meningkatkan nilai tambah pengalaman pendidikan yang diterima.
“Kami akan melaksanakan beberapa program utama untuk graduan dan alumni, termasuk Leadership Series bersama pemimpin industri, sesi bimbingan mentor dan Leadership Summit yang mengumpulkan tokoh terkenal dari dalam dan luar negara.
“Kami turut memanfaatkan jaringan alumni global UKM-GSB seperti pemain industri dari Indonesia, China dan Timur Tengah untuk memberikan pendedahan antarabangsa serta peluang kolaborasi,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini lebih 4,500 alumni telah mendaftar sebagai ahli persatuan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial