MELAKA, 8 Dis (Bernama) -- Melaka menerima enam projek berkaitan kemudahan kesihatan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK), kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Beliau berkata projek pertama membabitkan Klinik Kesihatan Jenis 3 Cheng dengan kos RM43.567 juta, bagi menggantikan klinik sedia ada yang tidak dapat menampung kehadiran pesakit mencecah 1,000 orang sehari.
“Antara komponen projek ini ialah penambahan perkhidmatan dengan kepakaran Perubatan Keluarga seperti Perkhidmatan Pesakit Luar, Kecemasan (A&E) 24 jam, Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Perkhidmatan Pergigian, Makmal, Farmasi dan X-Ray.
“Klinik kesihatan sedia ada akan dijadikan Unit Rehabilitasi, Klinik Warga Emas dan Klinik Pencegahan Ketagihan (OSCA) apabila siap kelak,” katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan RM500,000 turut diluluskan bagi kerja-kerja awalan membabitkan siasatan tanah, penyediaan Penilaian Kesan Alam Sekitar, reka bentuk, brif projek serta pemetaan utiliti di tapak bagi Kerja Awalan Blok Tambahan Hospital Jasin.
“Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Jasin dimohon dengan kos RM305 juta pada RP1 RMK13. Skop projek melibatkan sebuah blok yang mengandungi wad pembedahan lelaki dan perempuan, wad rehabilitasi lelaki dan perempuan, Unit Rawatan Rapi, Dewan Bedah, Radiologi, Unit Rekod Perubatan serta Klinik Pakar Hospital Jasin.
“Kerja-kerja awalan perlu dilaksanakan bagi mengelak kelewatan memulakan projek, terutamanya projek pembangunan hospital baharu atau blok tambahan yang mempunyai tahap kompleksiti tinggi,” katanya.
Katanya antara projek lain ialah Kerja Awalan Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah Melaka Tengah dengan kos RM500,000 daripada jumlah kos projek RM45 juta.
“Selain itu, naik taraf kemudahan hemodialisis di Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) Melaka dengan kos RM230,000, perolehan kenderaan dan peralatan bagi tiga pasukan Pergigian Bergerak Melaka bernilai RM1.35 juta, membabitkan Klinik Pergigian Ujong Pasir, Durian Tunggal dan Selandar.
“Projek terakhir membabitkan Perolehan X-Ray Blood Irradiator di Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka bernilai RM2.5 juta,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial