GEORGE TOWN, 8 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan Malaysia) menghantar pasukan pertama sukarelawannya ke Aceh, Indonesia bagi membantu mangsa banjir di wilayah itu baru-baru ini terutama dalam menyalurkan bantuan makanan kepada mereka.
Pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu diketuai Naib Presiden Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan Haluan Malaysia Dr Baharudin Suri, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini bersama-sama Marwansyah Ismail dan Fadlon Abdul Rahim.
Ketua Biro Kebajikan Haluan Abdul Halim Kudri berkata pasukan itu akan membuat penilaian awal bantuan yang diperlukan dan menyalurkan sokongan kecemasan termasuk perubatan serta dana bagi membeli keperluan operasi di lapangan.
"Bagi permulaan, seramai tiga sukarelawan akan dihantar ke Aceh bagi membantu saudara-saudara kita, dan kami difahamkan lebih 1,000 mangsa terkorban manakala masih ramai dilaporkan hilang serta gagal dihubungi.
"Ini juga adalah kali ketiga Haluan Malaysia turun padang membantu bencana di Indonesia selepas kejadian tsunami dan gempa bumi sebelum ini namun kemusnahan akibat banjir kali ini amat dahsyat,” katanya kepada pemberita di LTAPP di sini.
Abdul Halim berkata tumpuan awal diberikan kepada bekalan makanan serta bantuan perubatan termasuk menghantar sukarelawan perubatan, dan pihaknya juga merancang membeli lebih banyak barangan keperluan di Aceh berikutan kekangan pengangkutan.
“Kita mempunyai sebuah lori dan dua kereta yang membawa barangan keperluan bernilai kira-kira RM10,000 (sekitar 40 juta Rupiah) untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan di sana.
“Kami juga difahamkan bekalan makanan di sana sudah habis dan kita berharap dengan kehadiran sukarelawan serta bantuan yang disalurkan dapat membantu sedikit sebanyak,” katanya.
Beliau berkata pasukan sukarelawan Haluan Malaysia akan menjalankan operasi yang diselaras dari Pusat Pembelajaran Haluan Barakah di PD Jaya, yang terselamat daripada bencana namun dikelilingi komuniti yang terjejas teruk.
Mengikut perancangan, Haluan Malaysia dijangka menghantar antara 40 hingga 50 sukarelawan secara berperingkat bagi membantu mangsa banjir di Aceh dan semasa bencana tsunami pada 2004, NGO itu telah menghantar 14 pasukan dengan tujuh hingga 12 sukarelawan setiap pasukan.
Penasihat Haluan Malaysia Pulau Pinang Ahmad Shukri Nordin pula berkata berdasarkan maklumat yang diterima, keadaan di Aceh amat meruncing dengan laporan menunjukkan lebih ramai mangsa meninggal dunia akibat kebuluran berbanding impak awal banjir.
“Kemusnahan kali ini lebih teruk daripada apa yang kami saksikan sewaktu tsunami, dan kami menyeru rakyat Malaysia supaya tampil membantu dengan menyalurkan dana melalui Haluan Malaysia sebagai tanda keprihatinan kepada rakyat Aceh," katanya.
Sementara itu, Marwansyah, 49, yang berasal dari PD Jaya dan berkahwin dengan penduduk tempatan serta menetap di Pulau Pinang sejak 24 tahun lepas, berkata keadaan di Aceh amat memeritkan kerana ia bukan banjir biasa sebaliknya banjir lumpur malah banyak kampung hilang ditimbus lumpur sedalam beberapa meter.
Beliau berkata rumah ibu bapanya selamat namun beberapa saudara termasuk sepupu bersama isteri dan tiga anak mereka di Timang Gajah, Bener Meriah masih gagal dihubungi sejak bencana itu melanda Aceh.
"Kami hanya mampu berdoa dan berharap mereka dapat ditemukan dengan segera, dan misi kami ke sana adalah untuk menyalurkan keperluan utama kepada mangsa iaitu makanan antaranya beras, minyak dan telur... seterusnya, kita akan memberi tumpuan kepada usaha membina semula penempatan mangsa," katanya yang berharap rakyat Malaysia akan terus bersama Aceh dalam saat sukar ini.
Marwansyah berkata maklumat yang diterima secara langsung daripada keluarganya di Aceh menunjukkan keadaan masih kritikal dan pihak berkuasa telah memohon supaya bencana itu diisytiharkan sebagai darurat nasional serta antarabangsa bagi membolehkan bantuan global masuk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial