AM > BERITA

MACA SPRM, Perluas Latihan Berasaskan Teknologi AI

08/12/2025 03:59 PM

PETALING JAYA, 8 Dis (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus melaksanakan transformasi digital melalui integrasi sistem data, peningkatan keupayaan forensik serta pengukuhan operasi risikan khususnya dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Pengarah Kanan Akademi Pencegarah Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar berkata, AI membolehkan pengesanan awal melalui analitik ramalan, penilaian risiko serta forensik digital yang lebih mantap.

 

“Program latihan di MACA SPRM turut diperluas merangkumi forensik digital, literasi AI, Open-Source Intelligence (OSINT), analitik data dan penyiasatan siber.

 

“Ini adalah bagi melengkapkan pegawai SPRM dengan kemahiran multidisiplin sejajar dengan keperluan era digital,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar on AI and Corruption: Emerging Challenges in Detection, Prevention and Regulatory Enforcement anjuran Centre for Commercial Law and Regulatory Studies – Malaysia Hub (CLARS-MH), Monash University dengan kerjasama MACA, SPRM sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, semua program latihan ini mampu menjadikan agensi penguat kuasa lebih pantas, tepat dan proaktif dalam melaksanakan siasatan. 

 

Forum pada seminar itu menampilkan tiga barisan panel berkaliber terdiri daripada Pengarah Bahagian Forensik Teknologi SPRM, Wan Zulkifli Wan Jusoh; Rakan Kongsi, Deol & Gill yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perlindungan Data Peribadi dan ahli Jawatankuasa Teknologi Undang-Undang & AI, Majlis Peguam Malaysia, Sathish Ramachandran serta Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Monash Univeristy, Dr Chithra Latha Ramalingam yang berkongsi pandangan mengenai potensi dan risiko AI dalam ekosistem integriti negara.
-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan