AM > BERITA

KPKT Salur Dana Tambahan RM40,000 Naik Taraf Sekolah Angkat MADANI Di Kulai

08/12/2025 05:05 PM

KULAI, 8 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan dana tambahan berjumlah RM40,000 bagi kerja naik taraf kemudahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Felda Taib Andak di sini melalui program Sekolah Angkat MADANI.

Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata peruntukan tambahan itu diberikan bagi memastikan pelaksanaan program memberi impak lebih menyeluruh kepada warga sekolah selain menyokong usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kementerian.

Beliau berkata pada peringkat awal, RM100,000 diperuntukkan untuk pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI namun jumlah itu ditambah bagi meluaskan skop naik taraf kemudahan di sekolah itu.

“CSR melalui PR1MA Corporation Malaysia dan Urbanice Malaysia ini menumpukan kerja penyelenggaraan bangunan serta pembaikan sistem elektrik dan mekanikal di pejabat pentadbiran sekolah.

“Melalui peruntukan tambahan, kerja mencantikkan landskap dan mengecat mural turut dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI KPKT di sekolah itu hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

M Noor Azman berkata melalui pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI, warga sekolah termasuk murid dan guru diharap dapat menikmati persekitaran pembelajaran lebih kondusif dan selesa.

“Kita yakin usaha naik taraf ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan murid untuk belajar malah membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan bagi melahirkan generasi pelapis berdaya saing,” katanya.

Peruntukan asal RM100,000 membolehkan beberapa kemudahan dinaik taraf termasuk kerja mengecat bangunan, penggantian tingkap baharu, pemasangan peralatan siar raya serta penyaman udara di bilik guru dan bilik mesyuarat.

Sementara itu, Mohd Jafni berharap pemberian peruntukan seperti program Sekolah Angkat MADANI diteruskan pada masa hadapan kerana memberi manfaat langsung kepada golongan sasar termasuk murid sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan