DUNIA > BERITA

ASEAN BANGUNKAN STRATEGI BAHARU UNTUK PERTUMBUHAN MAMPAN DI BAWAH PIMPINAN LAOS

23/09/2024 04:01 PM

JAKARTA, 23 Sept (Bernama) -- ASEAN kini sedang merangka ‘Strategi Dirangka Semula untuk Mengecilkan Jurang Pembangunan dan Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Mampan serta Inklusif di Rantau Ini’ di bawah pimpinan Laos selaku pengerusi blok itu tahun ini.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata strategi itu dijangka menjadi ‘pengubah keadaan’ dan penting untuk menangani jurang pembangunan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Beliau berkata strategi itu juga akan membantu bertindak balas terhadap cabaran serantau dan global, memastikan pertumbuhan ASEAN kekal inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“Saya benar-benar mengucapkan tahniah kepada Laos kerana membangkitkan isu ini dan memberikan perhatian yang sewajarnya, memandangkan kita masih mempunyai 'poket kemiskinan' di rantau ini,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-56 dan Mesyuarat Berkaitan di Vientiane pada Ahad.

Kenyataan itu disiarkan di laman sesawang ASEAN.

Kao menegaskan, “adalah penting untuk memberi perhatian dan mengutamakan isu ini,” selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-56 dan mesyuarat berkaitan.

Dengan tarikh akhir Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean pada 2025 semakin hampir, Kao menjelaskan bahawa ASEAN sedang membangunkan Visi Komuniti ASEAN 2045, menandakan kali pertama organisasi itu merancang visi 20 tahun.

Semasa mesyuarat itu, para menteri membincangkan visi pasca-2025 untuk komuniti ASEAN yang berdaya tahan dan inovatif serta mengadakan perundingan yang meluas dengan pihak berkepentingan, termasuk perniagaan, ahli akademik dan ahli parlimen untuk memastikan keterangkuman.

Mengenai hubungan luar, para menteri menyemak kemajuan dalam rundingan naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, yang dijangka mencapai kesimpulan penting pada akhir tahun ini.

Mesyuarat turut mengambil maklum tentang Kajian Bersama Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA), yang mencadangkan penambahbaikan utama.

ASEAN juga sedang merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA), perjanjian perdagangan pertamanya dengan negara Amerika Utara dengan rancangan untuk memuktamadkan rundingan menjelang 2025.

Sementara itu, Kao berkata para menteri juga membincangkan usaha memperdalam integrasi dengan Rakan Dialog ASEAN dan meneroka kerjasama dalam pendigitalan perdagangan, termasuk penggunaan e-dokumen untuk perdagangan rentas sempadan.

Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Kao menekankan kepentingan penubuhan Unit Sokongan RCEP untuk memudahkan pelaksanaan Perjanjian RCEP.

“Pengarah Eksekutif baharu Taufiq Wargadalam telah dilantik dan akan berpangkalan di Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan