DUNIA > BERITA

TRUMP TANDATANGAN PERINTAH EKSEKUTIF TANGGUH LARANGAN TIKTOK 

21/01/2025 02:44 PM

WASHINGTON, 21 Jan (Bernama-AA) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada Isnin untuk menangguhkan larangan terhadap aplikasi video pendek popular, TikTok selama 75 hari, lapor Agensi Anadolu. 

Menurut perintah itu, Trump berusaha mencari penyelesaian untuk melindungi keselamatan negara sambil memastikan kelangsungan platform yang digunakan oleh 170 juta rakyat Amerika. 

“Saya rasa Amerika Syarikat berhak mendapat separuh daripada TikTok,” kata Trump kepada wartawan ketika menandatangani perintah eksekutif itu selepas kembali ke Pejabat Oval. 

Trump mengangkat sumpah untuk penggal kedua, menandakan peralihan besar dalam kerajaan AS dan dijangka memberi impak besar kepada masyarakat Amerika dan dunia. 

Beliau juga berkata bahawa TikTok boleh bernilai satu trilion dolar. 

“Secara asasnya, dengan TikTok, saya berhak untuk menjualnya atau menutupnya dan kami akan membuat keputusan mengenainya, dan mungkin kami perlu mendapatkan kelulusan daripada China juga. Saya tidak pasti, tetapi saya yakin mereka akan meluluskannya,” katanya. 

Trump juga berkata pentadbirannya akan berusaha untuk mewujudkan “usaha sama” antara AS dan entiti lain yang tidak didedahkan. 

“Saya rasa ramai yang berminat dengan TikTok dengan Amerika Syarikat menjadi rakan kongsi,” katanya. 

Pada Jumaat, Mahkamah Agung AS mengekalkan undang-undang yang mengharamkan TikTok kecuali syarikat induknya yang berpusat di China, ByteDance menjual aplikasi itu. 

Selepas TikTok tidak dapat diakses pada awal Ahad, aplikasi itu mengumumkan bahawa mereka sedang dalam proses memulihkan perkhidmatannya kepada pengguna di AS susulan jaminan daripada Trump. 

-- BERNAMA-AA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan