WASHINGTON, 22 Nov (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran mengenai keadaan yang semakin meruncing di Tebing Barat yang diduduki, melaporkan peningkatan keganasan yang menyebabkan orang awam Palestin berdepan korban yang semakin meningkat, pemindahan paksa dan rasa tidak selamat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Berhubung situasi di Tebing Barat, rakan-rakan kemanusiaan kami memberi amaran bahawa tahap keganasan di sana kekal amat membimbangkan dengan angka korban, kerosakan harta benda, pemindahan paksa, kehilangan mata pencarian serta rasa tidak selamat yang mendalam dalam kalangan orang awam Palestin,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada pemberita.
Pada minggu ini, kata Dujarric, jumlah kanak-kanak Palestin yang maut pada 2025 meningkat kepada 50 orang.
“Secara keseluruhan, lebih 200 rakyat Palestin kini telah dibunuh oleh tentera Israel sejak awal tahun,” katanya.
Dalam tempoh hanya seminggu, menurut Dujarric, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mendokumentasikan 29 serangan oleh peneroka haram Israel yang menyalahi undang-undang, mengakibatkan 11 kecederaan serta merosakkan 10 rumah, dua masjid, lebih 10 kenderaan dan pelbagai aset pertanian.
“Kami terus menggesa perlindungan orang awam - termasuk penguatkuasaan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang melakukan serangan - serta penggunaan kekerasan membawa maut oleh pasukan keselamatan dengan pematuhan ketat kepada piawaian penguatkuasaan undang-undang yang diiktiraf antarabangsa.
“Taktik seperti perang tidak boleh diterima sebagai perkara biasa yang baharu (di Tebing Barat)," katanya.
Ditanya mengenai rancangan Israel untuk merampas sebahagian besar tapak bersejarah utama di Tebing Barat iaitu Sebastia, Dujarric berkata PBB telah melihat laporan media mengenai hasrat berkenaan.
“Saya fikir kami telah amat jelas dalam penegasan kami menentang tindakan merampas tanah seperti ini,” tambahnya.
Tentera Israel telah meningkatkan serangan di Tebing Barat sejak tercetusnya serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Okt 2023.
Lebih 1,076 rakyat Palestin maut dan 10,700 lagi cedera akibat serangan tentera serta peneroka haram Israel di wilayah yang diduduki itu. Lebih 20,500 orang turut ditahan.
Dalam pendapat nasihat bersejarah pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah dan menyeru pengosongan semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial