EKONOMI > BERITA

JABATAN STANDARD MALAYSIA BANGUN GARIS PANDUAN E-DAGANG TINGKAT PERSEKITARAN PELABURAN KONDUSIF

24/09/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Jabatan Standard Malaysia (JSM) berjaya membangunkan piawaian Malaysian Standard (MS) 2781: 2023 - Logistics dataset - Guidelines for E-commerce Transactions and Last Mile Delivery untuk memastikan ekosistem pelaburan, perdagangan dan industri yang kondusif.

Jabatan itu berkata pembangunan MS 2781 bertujuan meningkatkan liputan dan kecekapan perkhidmatan penunaian e-dagang agar Malaysia lebih berdaya saing di peringkat serantau.

Pembangunan MS 2781 merupakan satu daripada program di bawah Pelan Halatuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR 2.0) - Teras Strategik 3 “Memperkukuh Keupayaan penunaian E-dagang.”

Menurut jabatan itu, NESR 2.0 dipacu melalui pendekatan kolaboratif seluruh negara antara sektor awam dan swasta bagi mempercepatkan pertumbuhan ekosistem e-dagang di Malaysia.

”MS 2781 menyeragamkan data logistik bagi membolehkan aliran data yang lancar merentasi rantaian nilai e-dagang, yang terdiri daripada platform e-dagang, peniaga dan pembekal perkhidmatan logistik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JSM berkata piawaian itu akan menjadi amalan baik dalam pengurusan logistik daripada segi kebolehpercayaan data dan ketepatan maklumat semasa proses penghantaran pesanan.

Menurutnya, MS 2781 juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk menceburi bidang e-dagang dan logistik berikutan kos integrasi sistem di antara platform e-dagang dan pembekal perkhidmatan logistik dapat dikurangkan.

”Setakat ini, beberapa pemain industri e-dagang seperti SiteGiant, Delyva dan InstanteStore memberikan komitmen sebagai syarikat terawal untuk mengguna pakai MS 2781 secara rintis dalam operasi mereka. 

“Dijangka jumlah pemain industri e-dagang yang menggunakan MS ini akan bertambah pada masa akan datang,” kata jabatan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan