EKONOMI > BERITA

EKSPORT KANDUNGAN PERMAINAN DIGITAL MALAYSIA PAPAR POTENSI KETARA PADA 2024

26/09/2024 08:20 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

TOKYO, 26 Sept (Bernama) -- Eksport kandungan permainan digital Malaysia dijangka menunjukkan potensi besar tahun ini, dengan Jepun muncul sebagai pasaran utama, di tengah-tengah unjuran industri permainan global yang akan mencecah US$187.7 bilion pada 2024. 

Dengan sokongan padu daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), pemaju serta studio animasi Malaysia semakin mendapat pengiktirafan dalam pasaran global.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Tokyo, Zuaziezie Zulkefli menjelaskan industri permainan video telah mengalami pertumbuhan kukuh selama sedekad, didorong oleh peningkatan dalam akses kepada teknologi komunikasi serta pengembangan ekonomi digital di seluruh rantau.

Pengembangan dalam ekonomi digital telah mendorong pembangunan sektor itu, khususnya dalam pembangunan permainan, animasi dan kesan visual merentasi platform seperti komputer peribadi, konsol serta peranti mudah alih.

“Di Malaysia, industri ini mencatatkan eksport berjumlah RM1 bilion dalam 2022, merentasi 120 pasaran dan wilayah, selain industri ini berkembang pada kadar lapan peratus setiap tahun.

“Penglibatan MATRADE dan MDEC dalam acara ini adalah sejajar dengan tumpuan kerajaan terhadap industri permainan serta kandungan digital; sektor keutamaan di bawah Pelan Induk Perindustrian Negara 2030,” katanya dalam ucapan alu-aluan semasa pelancaran Pavilion Malaysia di Pameran Permainan Tokyo 2024 (TGS 2024) hari ini. 

Pavilion Malaysia telah dilancarkan secara rasmi oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany. 

MATRADE pertama kali menyertai TGS pada 2016 melalui program Misi Pecutan Eksport, dan mulai 2021, agensi promosi perdagangan itu telah menubuhkan pavilion nasional di TGS, mempamerkan syarikat permainan serta inovasi Malaysia dengan kerjasama MDEC.

Sementara itu, Ketua Transformasi Digital MDEC Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata TGS 2024 menandakan tahun kelapan berturut-turut MDEC menyertai acara permainan global yang terkenal itu, seterusnya menekankan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju dalam industri digital dan permainan.

“Melalui acara seperti TGS 2024, kami memperkukuh komitmen Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam pembangunan kandungan digital dan permainan. Dengan mengukuhkan hubungan antarabangsa, kami sedang membina masa depan, yang mana bakat serta kreativiti Malaysia diiktiraf di seluruh dunia.

"Ini sejajar dengan visi MDEC yang lebih luas: memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju dalam ekonomi digital sambil menyediakan syarikat tempatan dengan sumber dan platform yang membolehkan mereka berjaya,” katanya. 

Bertemakan 'Trailblaze the World of Gaming', Pavilion Malaysia menampilkan 10 syarikat permainan Malaysia, mempamerkan inovasi mereka kepada pasaran global sambil meneroka peluang bagi bekerjasama dengan pembangun permainan antarabangsa, pencipta kandungan dan syarikat teknologi.

10 syarikat itu ialah Adticles, Ammobox Studios, Bear Down Studios, Dreamscapes Edtech, Esolved MSC, Goolee, Magnus Games Studio, Rcade Studio, Why Knot dan Todak Studios. 

Dalam satu kenyataan, Shahril Effendi memberitahu Jepun merupakan peneraju global dalam industri permainan, dan dengan memupuk perkongsian dengan syarikat Jepun, Malaysia boleh meningkatkan lagi keupayaannya termasuk meletakkan dirinya sebagai hab serantau untuk teknologi kreatif.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan melonjakkan keupayaan teknikal kami tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai hab untuk kreativiti, bakat dan pelaburan dalam sektor permainan,” katanya.

Pameran tahun ini adalah yang terbesar dalam sejarah TGS, dengan sejumlah 985 syarikat iaitu 450 dari Jepun dan 535 peserta antarabangsa termasuk Malaysia, mempamerkan produk dan perkhidmatan permainan mereka semasa acara empat hari itu, yang diadakan mulai 26 hingga 29 Sept 2024.

Aktiviti utama di Pavilion Malaysia merangkumi mesyuarat peringkat tertinggi, padanan perniagaan serta rangkaian dengan penerbit permainan Jepun dan inkubator teknologi seperti Bandai Namco Studio, Nintendo, dan IMDA Singapura.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan