EKONOMI > BERITA

AIRASIA TIDAK PUTUS ASA DAPATKAN LESEN UNTUK BEROPERASI DI SINGAPURA

26/09/2024 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- AirAsia tidak akan berputus asa untuk mendapatkan lesen bagi beroperasi di Singapura, walaupun telah ditolak sebanyak tiga kali, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes.

"Jangan sekat saya di Singapura," katanya.

“Tiga kali kami memohon lesen penerbangan, tiga kali kami ditolak. Kami mempunyai syarikat penerbangan di Kemboja, Filipina, Indonesia, Thailand dan Malaysia.

“Kita boleh mendapatkan (lesen) di negara ASEAN yang lain, tetapi Singapura menghalang kita sepanjang masa kerana mereka melindungi syarikat penerbangan mereka,” katanya selepas perasmian besar-besaran hangar 14 barisan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih Kejuruteraan Digital Asia (ADE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Mengulas mengenai hantaran beliau di LinkedIn tentang SIA Engineering Company (SIAEC), Tony berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk syarikat itu datang ke Malaysia.

SIAEC baru-baru ini menandatangani perjanjian 15 tahun dengan anak syarikat Khazanah Nasional, Impeccable Vintage Properties untuk menyewa dua hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

“Yang pentingnya ialah SIAEC elok sahaja di sini, kami menyokongnya… ia baik untuk negara, bagus untuk pelaburan dan bagus untuk pekerja yang ingin keluar (daripada syarikat lama).

“Jika mereka dapat kerja yang lebih baik, mereka harus pergi. Ini adalah pasaran bebas.

“Masalah saya kenapa Singapura tidak beri saya lesen? Itulah masalah saya,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan