EKONOMI > BERITA

ADE BAKAL JADI PERNIAGAAN PERTAMA CAPITAL A DISENARAIKAN DI BURSA MALAYSIA - TONY

26/09/2024 10:06 PM

SEPANG, 26 Sept (Bernama) -- Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bakal menjadi unit perniagaan pertama Capital A Bhd yang disenaraikan di Bursa Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata ADE, anak syarikat milik penuh Capital A, berpotensi menyaingi nilai syarikat penerbangan tambang rendah kumpulan itu, AirAsia Bhd dengan “nilai yang dicipta adalah besar.”

Rancangan untuk penyenaraian akan berdasarkan beberapa faktor termasuk pertumbuhan modal syarikat, katanya.

Beliau berkata tambahan pula, Capital A masih dalam usaha untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

“Semua pemegang saham ingin (ADE) jadi (syarikat senaraian) awam. Jadi, lembaga pengarah akan memutuskan masa untuk penyenaraian. Kami sangat positif dari segi aliran tunai dan mampu mendapatkan hutang untuk membina hangar ini,” katanya selepas pembukaan hangar MRO ADE 14 ruang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Khamis.

Pembukaan itu disempurnakan Menteri Darjah, Tun Musa Hitam.

Tony berkata semasa taklimat pelabur dan penganalisis yang diadakan hari ini, beliau turut ditanya beberapa soalan.

“Saya ditanya: yang mana satu pada pandangan anda yang akan disenaraikan terlebih dahulu? Ini hanya pandangan saya, namun mungkin ADE menjadi penyenaraian pertama. Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai penyenaraian pada masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata ADE dijangka menambah satu lagi hangar 14 ruang untuk mengembangkan perniagaannya susulan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan MRO.

Pada masa ini, ADE sedang berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memperoleh kawasan bagi 10 ruang daripada 14 ruang itu, katanya.

“Mereka telah menawarkan tanah seluas lima ekar dan kami sedang berbincang mengenai 20 ekar lagi. Kami juga sedang mencari di seluruh rantau Asia Tenggara dan di luar Lembah Klang untuk kemudahan hangar ini,” katanya.

Terletak di kawasan berkeluasan lebih daripada 380,000 kaki persegi, kemudahan hangar 14 ruang baharu yang dilancarkan hari ini meliputi kawasan 20.25 ekar dalam kawasan Zon Sokongan Aeronautik KLIA 1 (ASZ 1) di bawah pembangunan Aeropolis KLIA oleh Malaysia Airports.

Hangar itu dilengkapi dengan bengkel termasuk bengkel komposit, bengkel kepingan logam dan mesin, bengkel upholsteri, bengkel pembaikan dalaman kabin, bengkel ketuhar serta dandang selain makmal percetakan tiga dimensi (3D) untuk ‘livery’ atau paparan imej atau motif pada badan pesawat serta pusat pembangunan produk digital. 

Ketua Pegawai Eksekutif ADE Mahesh Kumar berkata kemudahan penting itu tidak hanya meningkatkan keupayaan syarikat tetapi turut mewujudkan sekurang-kurangnya 500 pekerjaan baharu di Malaysia yang berupaya menarik penyertaan bakat tempatan dan pelaburan asing. 

ADE juga, katanya, turut memperluas kepakaran dan amalan terbaiknya dalam aspek kejuruteraan pesawat untuk menarik kehadiran lebih banyak syarikat penerbangan pihak ketiga.

“Perkhidmatan itu termasuk sokongan komponen, penyelenggaraan barisan dan pangkalan untuk pelbagai model pesawat seperti kumpulan jenis Airbus A320 dan A330 serta Boeing 737.

“Kami juga merancang untuk mengembangkan lagi kapasiti bagi memberi perkhidmatan untuk pesawat jenis lain di masa depan,” katanya.

Pada majlis perasmian itu, pihak Malaysia Book of Records turut mengiktiraf kemudahan baharu itu dengan tiga rekod kebangsaan - Kasau (tiang tirus selari) Sistem Bangunan Prakejuruteraan Rentang Tunggal Terpanjang, Sistem Rangka Kekuda Rentang Tunggal Rekaan Tempatan Terpanjang dan Pintu Hangar Menegak Terpanjang.

Dalam pada itu, menyentuh caj levi karbon, Tony berkata perkara itu akan dilaksanakan oleh syarikat penerbangan tambang rendah itu mulai Januari tahun depan kerana AirAsia juga perlu mendapatkan kelulusan kerajaan lain di ASEAN.

“Kami tidak mahu melaksanakannya hanya di Malaysia. (Ini berikutan) kami mempunyai banyak syarikat penerbangan dan sedang cuba mendapatkan semua kelulusan dari ASEAN.

“Selain itu, kami juga tidak berhasrat menjadikannya sebagai pilihan kerana tiada siapa yang akan melakukannya dengan tepat jika hanya dijadikan pilihan,” katanya.

Pada 4 Mac, 2024, Kementerian Pengangkutan berkata syarikat penerbangan boleh mula mengenakan caj levi karbon sebaik sahaja pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia di bawah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) 2018 dimuktamadkan oleh suruhanjaya itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan