EKONOMI > BERITA

MALAYSIA MAMPU JADI HAB PERKHIDMATAN SERANTAU UNTUK FIRMA GLOBAL - TENGKU ZAFRUL

26/09/2024 11:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) komited untuk terus memupuk bakat, mengukuhkan hubungan dagangan selain memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju hab pembuatan dan perkhidmatan.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini sekali gus dapat menyumbang kepada profil ASEAN yang makmur serta inklusif.

Ketika berkongsi komitmen itu, beliau berkata usaha ke arah itu akan disokong oleh dasar yang lebih mantap, infrastruktur bertaraf dunia serta ekonomi yang berdaya tahan.

“Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) misalnya, kita berharap dapat mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030. Ini dilaksanakan menerusi penyepaduan teknologi maju, memanfaatkan data bagi maklumat strategik serta penyampaian perkhidmatan yang lebih khusus,” katanya dalam ucaptama pada majlis makan malam anjuran InvestKL Corporation di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata menseimbangkan dan menyepadukan kedua-dua industri pembuatan dan perkhidmatan moden akan turut melonjakkan industri pembuatan berkenaan.

Dari segi perkhidmatan moden, beliau berkata tiga sektor telah digariskan dalam NIMP 2030 iaitu Digital dan Teknologi Maklumat (ICT) dan Komunikasi, Perkhidmatan Global dan Perkhidmatan Profesional serta Perkhidmatan Berkaitan Pembuatan (MRS).

“Bagi perkhidmatan Digital dan ICT, kita telah mengupayakan aktiviti seperti infrastruktur digital yang merangkumi pusat data dan pengkomputeran data. Kita juga, amat teruja dengan langkah syarikat-syarikat seperti Google dan Amazon Web Services (AWS) memilih Malaysia untuk mewujudkan rangkaian awan mereka,” katanya.

Jumlah pelaburan Malaysia yang diluluskan pada separuh pertama 2024 juga mencecah RM160 bilion - peningkatan 18 peratus tahun ke tahun dengan sektor perkhidmatan, terutama teknologi dan perkhidmatan digital menyumbang RM97.2 bilion atau 60.7 peratus daripada pelaburan itu.

“Usaha mewujudkan infrastruktur awan bertaraf dunia AWS di Malaysia secara digital akan memberi keupayaan untuk pihak yang membangunkannya dan membolehkan syarikat pemula niaga dan perusahaan selain kerajaan, pendidik dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai pilihan lebih besar dalam operasi aplikasi dan memberi perkhidmatan kepada pengguna akhir dari pusat data AWS  di Malaysia," katanya.

Menyedari peranan bakat sebagai teras kejayaan sektor perkhidmatan moden negara, MITI mengambil langkah memastikan rakyat mempunyai kemahiran bagi menampung permintaan sektor perkhidmatan yang terus berkembang pesat.

"Kita komited sepenuhnya untuk membangunkan tenaga kerja mahir diperlukan bagi menyokong kebangkitan berterusan Malaysia sebagai pemain global dalam industri teknologi tinggi,” katanya.

Tengku Zafrul juga menekankan subdasar seperti Rangka Kerja Industri Kebangsaan untuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (i-ESG), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Rangka Kerja Dasar Ekonomi Pekeliling untuk Pembuatan ke arah perindustrian semula, juga menjurus tidak hanya aspek pertumbuhan tetapi bercirikan mampan dan inklusif.

Malaysia letak asas kukuh bagi ASEAN yang inklusif

Seiring tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Tengku Zafrul berkata kerajaan sedang menyediakan senarai kukuh untuk mewujudkan ASEAN yang lebih makmur, mampan dan inklusif.

Ini termasuk usaha mencapai pemuktamadan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dilihat paling relevan dalam konteks perbincangan mengenai perkhidmatan moden Malaysia, katanya.

“Saya juga ingin tekankan seiring dengan perkembangan dunia yang mana konfigurasi semula rantaian bekalan menjadi usaha berkepentingan tinggi, banyak syarikat global dan syarikat multinasional memerlukan rakan kongsi yang neutral dan cintakan keamanan. Rakan itu adalah ASEAN,” katanya.

Dalam tempoh menggalas kepengerusian ASEAN tahun depan, Putrajaya tidak hanya akan memastikan komitmen terhadap Pemusatan ASEAN diperbaharui, tetapi turut berusaha mempertahankan ASEAN yang berkecuali.

“Kita juga telah melihat hasil yang lumayan dalam tempoh cabaran geopolitik ini,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul optimis terhadap peranan ASEAN yang terus ketara dalam rantaian bekalan global dan kepentingannya dalam aturan global.

“Cadangan Asean sebagai titik rantaian bekalan utama dan pintu masuk ke pelbagai pasaran utama masih di peringkat awal. Malaysia, khususnya, akan sentiasa terbuka kepada semua rakan dari dalam dan luar rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan