Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan mencatat prestasi rendah seiring penurunan pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.05 mata atau 0.31 peratus kepada 1,609.15 berbanding 1,614.20 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 4.31 mata lebih rendah pada 1,609.89 dan bergerak antara 1,607.66 dan 1,615.10 di sepanjang sesi dagangan.
Pasaran secara keseluruhan adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 563 berbanding 470, manakala 510 kaunter tidak berubah, 1,126 tidak diniagakan dan 60 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.55 bilion unit bernilai RM2.68 bilion berbanding 3.46 bilion unit bernilai RM2.62 bilion pada Khamis.
Ketika ini, Indeks Komposit IDX Indonesia susut 0.25 peratus kepada 8,163.88, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.43 peratus kepada 25,906.65, Indeks Komposit SSE China berkurangan 0.81 peratus kepada 3,954.79, manakala Indeks Straits Times Singapura turun 0.20 peratus kepada 4,428.62.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kelemahan pasaran serantau dipengaruhi oleh penjualan besar-besaran dalam kaunter teknologi utama di Amerika Syarikat (AS).
“Sentimen pelabur turut terjejas oleh kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell yang menolak kemungkinan untuk melaksanakan satu lagi penurunan kadar faedah pada Disember, langkah yang sebelum ini telah diambil kira oleh pasaran,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan terus menunjukkan daya tahannya apabila FBM KLCI berada dalam fasa yang stabil.
“Indeks dilihat semakin stabil, bagaimanapun, pemangkin yang lebih kukuh diperlukan untuk menggerakkan semula momentum belian.
"Mengekalkan paras melebihi 1,600 adalah penting untuk mempertahankan aliran semasa, manakala penembusan melepasi 1,630 boleh menandakan permulaan fasa kenaikan baharu,” katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.87, CIMB Group berkurangan satu sen kepada RM7.30, Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM13.28, manakala Public Bank kekal pada RM4.22 dan IHH Healthcare menambah lima sen kepada RM8.25.
Bagi kaunter paling aktif, Perak Transit turun 2.5 sen kepada 34 sen, Dagang NeXchange naik 2.5 sen kepada 30.5 sen, Zetrix meningkat tiga sen kepada 84.5 sen, Tanco menambah setengah sen kepada 93.5 sen, manakala Ekovest berkurangan 1.5 sen kepada 33.5 sen.
Kaunter untung utama termasuk Nestle yang melonjak RM2.50 kepada RM113.00, Dufu Technology meningkat 30 sen kepada RM2.20, Sarawak Oil Palms naik 21 sen kepada RM3.73, United Plantations menambah 16 sen kepada RM24.80 dan KESM Industries meningkat 11 sen kepada RM3.63.
Antara kaunter rugi utama pula ialah Chin Teck Plantations yang merosot 70 sen kepada RM11.04, PPB Group jatuh 46 sen kepada RM11.14, Kuala Lumpur Kepong susut 38 sen kepada RM20.50, Malaysian Pacific Industries berkurangan 26 sen kepada RM30.00, manakala Hong Leong Bank turun 24 sen kepada RM20.56.
Pada papan indeks, Indeks FBM Emas susut 27.93 mata kepada 12,023.36, Indeks FBMT 100 berkurangan 31.30 mata kepada 11,761.17, Indeks FBM Emas Syariah merosot 27.02 mata kepada 12,098.11, Indeks FBM 70 susut 21.07 mata kepada 17,056.07, manakala Indeks FBM ACE turun 8.45 mata kepada 5,221.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 69.99 mata kepada 18,123.26, manakala Indeks Perladangan merosot 33.08 mata kepada 7,987.09.
Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.11 mata kepada 171.61 dan Indeks Tenaga menambah 2.81 mata kepada 771.24.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.88 bilion unit bernilai RM2.40 bilion berbanding 1.67 bilion unit bernilai RM2.30 bilion pada Khamis.
Dagangan waran berkurangan kepada 1.28 bilion unit bernilai RM123.62 juta berbanding 1.40 bilion unit bernilai RM152.73 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 381.42 juta unit bernilai RM155.65 juta daripada 386.48 juta unit bernilai RM165.60 juta semalam.
Bagi Pasaran Utama, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 353.62 juta saham didagangkan, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (317.56 juta), pembinaan (161.04 juta), teknologi (426.16 juta), perkhidmatan kewangan (60.33 juta), hartanah (218.99 juta), perladangan (33.07 juta), amanah pelaburan hartanah (30.81 juta), dana tertutup (6,200), tenaga (82.71 juta), penjagaan kesihatan (72.94 juta), telekomunikasi dan media (52.01 juta), pengangkutan dan logistik (36.38 juta), utiliti (33.96 juta) dan amanah perniagaan (4,200).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial