Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Ringgit dilihat bergerak ke paras 4.00 hingga 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2025, selepas mengukuh enam peratus berbanding unit negara maju itu, sekali gus menjadikannya mata wang berprestasi terbaik dalam kalangan ASEAN selain mengesahkan lagi trajektori pengukuhannya.
Faktor pendorong prestasi ringgit adalah berasaskan struktur serta kitaran -- ekonomi Malaysia terbukti berdaya tahan, petunjuk dasarnya kekal stabil manakala asas eksport juga meluas untuk meraih manfaat daripada peningkatan perdagangan serantau tanpa dijejaskan oleh mana-mana komoditi secara tunggal.
Elemen lain yang turut membantu adalah perbezaan kadar faedah yang mengecil antara kadar dana persekutuan (FFR) AS dan kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia yang disifatkan sebagai pemacu utama pergerakan ringgit.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata jurang kadar faedah yang mengecil, pertukaran asing pengeksport semakin ketara manakala kelesuan tindakan ketat Rizab Persekutaran AS (Fed), juga hanya melemahkan kedudukan dolar AS pada masa ini.
“Paras psikologi itu adalah pada 4.00 dan jika keadaan kekal tepu di tengah-tengah kelemahan hasil AS, harga minyak yang stabil dan tiada isu dasar domestik, ringgit sebaliknya dapat menuju ke arah paras itu dalam bulan-bulan akan datang.
“Namun, (pergerakan itu) bukan secara mendadak, sebaliknya perlahan dan tidak ketara.
“Impaknya adalah simbolik -- ringgit tidak lagi pilihan mudah bagi jualan singkat dalam kumpulan mata wang Asia. Selepas bertahun-tahun menjadi proksi bagi kelemahan rantau ini, kini ringgit mula dilihat sebagai ukuran kestabilan relatif dan dalam dunia pelabur mencari ketenangan, perubahan naratif ini sememangnya amat bermakna,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan pula menegaskan jika pelaksanaan pembaharuan giat dilaksanakan ini terus mencatat kemajuan, ringgit berpotensi untuk lebih mengukuh ke paras 4.05 menjelang akhir 2026.
“Prestasi ringgit itu adalah paparan ketahanan asas, namun ini pun perlu diterjemah kepada tindakan atau keyakinan pelabur secara berterusan,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Sedek berpendapat keutamaan sekarang adalah dari segi pelaksanaan atau penyampaian dasar secara konsisten, konsolidasi fiskal yang berwibawa serta kedalaman pasaran bagi memastikan modal itu bukan sekadar melintasi menerusi Malaysia, tetapi terus kekal di sini serta produktif dalam ekonomi domestik.
Setakat pagi ini, ringgit memulakan urus niaga pada paras 4.1865/1985 berbanding dolar AS selepas ditutup pada paras 0.14 peratus lebih tinggi pada 4.1890/1925, semalam.
Beliau menjelaskan, pengukuhan ringgit ke paras 4.18 telah disokong oleh langkah kali kedua berturut-turut Fed mengurangkan kadar 25 mata asas kepada 3.75-4.00 peratus selain keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman ketika tindakan bank pusat lain mengambil pendekatan lebih longgar.
“Ini telah mengekalkan perbezaan hasil dan sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap unjuran inflasi serta kestabilan kewangan Malaysia.
“Pada masa sama, eksport minyak sawit dan elektronik serta permintaan domestik, disokong oleh pelarasan gaji perkhidmatan awam dan perbelanjaan infrastruktur, telah membantu mengimbangi momentum luaran yang lemah, khususnya apabila Indeks Pengurus Pembelian Komposit Biro Perangkaan Kebangsaan China kekal mendatar di paras 50.0 pada Oktober,” katanya.
Walaupun ringgit mengukuh, Innes dan Mohd Sedek sebaliknya menegaskan bahawa aliran keluar ekuiti masih tinggi dan dana berkenaan perlu mendapatkan destinasi pelaburan baharu.
“Semakin banyak dana itu ditempatkan dalam bon domestik, deposit jangka pendek, malah dalam strategi perdagangan mata wang serantau yang bersifat defensif, dengan ringgit menjadi sebahagian daripada portfolio pelaburan yang terdiri daripada gabungan mata wang ASEAN lain, dengan jangkaan bahawa nilai kumpulan mata wang ini meningkat.
“Malah, ada pelabur institusi sebenar yang berminat secara senyap untuk beralih kepada mata wang yang dinilai rendah tetapi mempunyai asas ekonomi yang semakin baik -- dan Malaysia kini memenuhi kriteria berkenaan,” kata Innes.
Mohd Sedek pula berkata pelabur asing terus mengurangkan pendedahan mereka terhadap aset Malaysia dengan aliran keluar ekuiti bersih berjumlah RM4.39 bilion setakat ini pada tahun ini -- yang tertinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Trend ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Dalam kelompok lapan pasaran Asia yang dipantau, aliran portfolio asing setakat ini pada tahun ini mencatat aliran keluar bersih sebanyak US$21.95 bilion, menunjukkan peralihan yang lebih meluas kepada pendekatan berwaspada terhadap risiko,” katanya.
Beliau berkata strategi penyesuaian semula pelaburan baru-baru ini turut melibatkan pasaran bon, dengan penjualan bersih sekuriti kerajaan Malaysia oleh pelabur asing -- menekankan bahawa mereka sedang mengurangkan pegangan berbanding paras tertinggi sebelum ini.
“Ini menunjukkan bahawa pelabur global bukan sahaja beralih daripada ekuiti kepada bon di Malaysia, malah menilai semula risiko pasaran pesat membangun dengan lebih meluas berikutan perdagangan global yang perlahan, permintaan China yang lemah dan peningkatan ketidakpastian mengenai dasar perindustrian dan perdagangan AS.
“Sehubungan itu, di manakah kedudukan pelabur asing di Malaysia? Berbanding meninggalkan Malaysia sepenuhnya, ramai yang beralih kepada peruntukan yang lebih defensif dan taktikal termasuk pendedahan dalam bon jangka pendek, sektor berkaitan penggunaan domestik dan perkhidmatan serta struktur portfolio yang melibatkan lindung nilai mata wang,” katanya.
Mohd Sedek menjelaskan bahawa strategi-strategi ini membolehkan pelabur untuk terus melabur dalam pasaran dan pada masa sama mengawal turun naik harga dan dasar yang tidak menentu.
“Ini bukan bermakna pelabur meninggalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, tetapi mereka sedang membuat penyesuaian terhadap jangka masa pelaburan dan kesediaan mengambil risiko,” katanya.
Menjelang akhir tahun, katanya ringgit masih berpeluang untuk terus meningkat secara beransur-ansur sekiranya keadaan kewangan global stabil dan dasar makro domestik kekal jelas dan konsisten.
Bagaimanapun, kemampanan ringgit akan bergantung kepada momentum yang dilaksanakan dalam kepelbagaian rantaian bekalan, pelaburan teknologi hijau dan penambahbaikan industri digital.
“Sekiranya langkah pembaharuan ini menunjukkan kemajuan, ringgit boleh mengukuh lagi sehingga ke paras 4.05 menjelang akhir 2026,” kata Mohd Sedek.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial