JKDM PAHANG RAMPAS MINUMAN KERAS BERNILAI LEBIH RM850,000

25/09/2024 02:35 PM

KUANTAN, 25 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas pelbagai jenis dan jenama minuman keras bernilai lebih RM850,000 termasuk cukai dan duti sejak Januari hingga September tahun ini.

Pengarah berkenaan Mohd Asri Seman berkata jumlah keseluruhan rampasan minuman keras itu ialah sebanyak 13,557.07 liter.

"Anggaran keseluruhan nilai minuman keras dirampas ialah RM217,741.71 yang membabitkan cukai dan duti berjumlah RM638,216.17.

"Susulan rampasan dilakukan, sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka dengan seramai 14 individu yang merupakan warga tempatan dan asing berusia antara 20-an hingga 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Wisma Kastam, Jalan Besar di sini hari ini. 

Mohd Asri berkata daripada bilangan itu, tiga telah dituduh di mahkamah dengan seorang telah dijatuhkan hukuman manakala dua lagi sedang dibicarakan.

"Modus operandi kes terlibat ialah sindiket didapati menggunakan pelbagai kaedah seperti premis perniagaan, premis kediaman, gudang, kenderaan persendirian untuk tujuan pengedaran minuman keras terbabit," katanya.

Dalam hal berkaitan, Mohd Asri berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang berjaya merampas pelbagai jenis dan jenama minuman keras berjumlah 1,671.84 liter dengan keseluruhan nilai rampasan, RM34,941.46 termasuk cukai dan duti dalam satu serbuan di sebuah gudang di sini pada 4 Sept lepas.

Beliau berkata ketika serbuan, hanya terdapat minuman keras di dalam premis tanpa sebarang individu dan pihaknya sedang mengesan pemilik gudang berkenaan bagi tindakan lanjut.

"Kita masih siasat dari mana minuman keras ini diperolehi dan ia mungkin diletakkan di situ sebelum diambil pihak sindiket untuk dijual," katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976, tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan