JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Hari Exco Bersama Rakyat Siri 2 Terima 500 Aduan - Ab Rauf

13/11/2025 04:49 PM

MELAKA, 13 Nov (Bernama) -- Kira-kira 500 aduan daripada rakyat diterima kerajaan negeri sempena program Hari Exco Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 2 yang berlangsung di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia menunjukkan peningkatan lebih empat kali ganda berbanding 120 aduan pada siri pertama program berkenaan yang dilaksanakan kira-kira dua bulan lepas.

"Sebanyak 85 peratus aduan berjaya diselesaikan pada siri pertama dan bakinya akan diselesaikan secara berperingkat.

"Kesemua aduan akan disalurkan kepada Exco dan jabatan berkaitan untuk diselesaikan secepat mungkin bergantung kepada tahap aduan diterima," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Sementara itu, Azhar berkata HEBAT dilaksanakan bagi menyahut saranan daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang mahu pegawai awam Persekutuan mahupun negeri menyantuni rakyat.

"Program ini juga selari dengan Agenda Reformasi Pentadbiran Awam (ARPA) dan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dengan rakyat dapat membuat aduan secara terus kepada pentadbiran kerajaan negeri.

"Aduan-aduan yang tidak rumit akan diselesaikan dalam tempoh 14 hari mengikut garis masa ditetapkan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) manakala aduan yang lebih kompleks mungkin akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan