KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Waris kepada penyelia pembinaan yang meninggal dunia selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma di sini 17 Nov lepas layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan mangsa K. Suresh, 37, yang bekerja di syarikat Palladium Builders Sdn Bhd merupakan pencarum di bawah Skim LINDUNG Pekerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), namun caruman terakhirnya dibuat pada April lepas.
“Justeru, PERKESO segera menghubungi majikan dan melalui hasil tindakan segera, caruman tertunggak mendiang dari Mei hingga Okt 2025 dilunaskan sepenuhnya pada 18 Nov lepas.
“Ini sekali gus mengekalkan status mendiang sebagai pencarum aktif dan memastikan warisnya layak menerima perlindungan penuh daripada Perkeso,” menurut kenyataan itu.
Berikutan itu, isteri mendiang, P. Shalini Devi, 31, dan anaknya yang berusia enam tahun, Pratezwaran layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dengan syer masing-masing berjumlah RM2,655 sebulan, selain Faedah Pengurusan Mayat RM3,000 secara sekali bayar.
Dalam kejadian 5.40 petang 17 Nov lepas, mangsa dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan kenderaannya yang berada di bawah jambatan selepas menyedari kepala air berhampiran Pintasan Saloma.
Ketika itu, Suresh dimaklumkan berada di kawasan berkenaan bersama 12 lagi individu termasuk pekerjanya serta pemancing, namun kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh pihak bomba.
Mayat mendiang kemudian ditemukan empat hari kemudian berhampiran Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, kira-kira 45 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Perkeso dalam kenyataan itu turut menzahirkan rasa simpati atas insiden berkenaan dan berharap agar keluarga mendiang tabah menghadapi ujian berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial