AM

Rakyat Malaysia Pemurah, Prihatin Hulur Sumbangan – Nancy

23/03/2025 05:01 PM

KUCHING, 23 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia dikenal pasti sebagai masyarakat yang pemurah dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada kumpulan sasar bagi meringankan beban mereka dalam menyambut perayaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata semakin ramai organisasi dan individu tampil mendapatkan panduan daripada kementerian serta agensi berkaitan mengenai platform yang sesuai untuk menyalurkan sumbangan mereka.

“Ada antara mereka yang bertanya bagaimana cara untuk membantu, jadi kami membantu dengan memberikan nama serta menghubungkan mereka kepada saluran yang tepat.

"Rakyat Malaysia memang pemurah, mereka mahu membantu kerana kumpulan sasar ini ramai dan berada di seluruh negara,” katanya pada sidang media Program Sinar Syawal YKN 2025 di sini, hari ini.

Terdahulu, Nancy yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyantuni 150 kanak-kanak daripada kumpulan sasar di kawasan Parlimen Santubong dengan menyampaikan sumbangan pakaian raya baharu.

Selain itu, Alliance Islamic Bank Berhad selaku penaja program turut menghulurkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang terlibat.

“Semalam, program sama diadakan di Lundu melibatkan 50 kanak-kanak. Secara keseluruhannya, seramai 200 kanak-kanak dari sekitar Kuching menerima sumbangan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan