KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad, yang meninggal dunia pada petang ini, merupakan khabar duka yang amat dirasai oleh keluarga besar sukan negara dan disifatkan sebagai satu kehilangan besar.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh sukan yang tenang, tidak banyak berkata-kata, namun setiap pandangannya sentiasa bernas dan dihormati.
“Allahyarham bukan sahaja memberi sumbangan besar kepada MSN, malah masih terus menyumbang kepada pembangunan sukan negara menerusi peranan sebagai ahli bebas dalam Jawatankuasa Pemilihan MOM.
“Jasa Allahyarham amat besar, terutamanya dalam memperkenalkan program yang melonjakkan prestasi sukan negara ke tahap lebih tinggi.
“Kita melantik beliau sebagai ahli bebas kerana yakin dengan ketelusan, kepakaran dan integritinya dalam memilih atlet terbaik mewakili negara,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin yang pernah dilantik oleh Allahyarham untuk menerajui Unit Sukan Teras menyifatkan kehilangan tokoh berkenaan sebagai sesuatu yang sukar diganti.
“Beliau adalah tokoh besar dalam arena sukan negara. Beliau adalah arkitek utama kepada program pembangunan sukan termasuk Program Jaya '98,” katanya.
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap turut menyifatkan Allahyarham sebagai individu penting yang banyak menyumbang kepada landskap pembangunan sukan tanah air.
“Kita kehilangan arkitek pembangunan sukan negara yang meninggalkan legasi panjang. Saya pernah bersama dalam beberapa mesyuarat yang dihadiri arwah — beliau memang seorang yang memiliki pemikiran sangat tajam.
“Walaupun pernah diserang angin ahmar dan percakapannya terbatas, namun pemikirannya kekal tajam dan peka terhadap isu atlet serta persatuan sukan,” katanya.
Penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli pula berkata Allahyarham antara Ketua Pengarah MSN yang sangat mesra media.
“Beliau sangat mudah didekati dan paling senang ditemu ramah walau dalam apa jua isu. Itulah keistimewaan keperibadiannya,” katanya.
Allahyarham yang menerajui MSN dari 1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005 meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 75 tahun sekitar jam 4.20 petang tadi.
Penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan 2022 itu telah dimasukkan ke PPUM sejak Jumaat lalu akibat serangan angin ahmar dan jangkitan pneumonia.
Mazlan dikenang sebagai arkitek utama kejayaan Program Jaya ‘98 dan Gemilang 2001 yang melonjakkan pencapaian kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 serta Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.
Sepanjang 12 tahun perkhidmatan, beliau memperkenalkan dasar pembangunan sukan jangka panjang termasuk pengukuhan program pelapis kebangsaan dan penstrukturan semula Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkasakan sokongan sains sukan kepada atlet elit.
Allahyarham turut memegang pelbagai jawatan penting dalam badan sukan kebangsaan seperti Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan pernah menjadi Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2001.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Ehsan, Kelana Jaya pagi esok untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial