AM

Pasir Mas Rekod 213 Lokasi Berisiko Banjir, Bomba Pantau Limpahan Sungai Golok

27/11/2025 10:51 AM

KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Kelantan merekodkan 618 lokasi berisiko banjir dengan jumlah tertinggi di Pasir Mas melibatkan 213 kawasan, termasuk di sepanjang Sungai Golok seperti Rantau Panjang dan Meranti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata berikutan itu, hampir 1,000 anggota digerakkan termasuk melibatkan pasukan bomba sukarela, bomba komuniti serta pasukan bantuan dari Terengganu (Wakaf Tapai), Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata penduduk di kawasan berisiko diingatkan supaya berpindah lebih awal tanpa menunggu arahan rasmi serta tidak meredah jalan yang ditenggelami air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Situasi banjir di Kelantan kini beralih ke jajahan tengah susulan aliran air dari hulu serta hujan berterusan, ketika paras Sungai Golok Rantau Panjang di Pasir Mas dijangka meningkat dan berisiko melimpah.

"Banjir yang sebelum ini menjejaskan jajahan di sebelah pantai kini mula memberi kesan di Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Rantau Panjang," katanya kepada Bernama di bilik gerakan banjir JBPM Tunjong di sini.

Farhan Sufyan berkata paras air kini mencatat peningkatan di dua sungai utama, iaitu Sungai Golok dan Sungai Galas di Limau Kasturi, yang kini berada pada peringkat bahaya, sekali gus meningkatkan risiko limpahan di kawasan berhampiran.

“Setakat semalam, kita melaksanakan 68 operasi pemindahan dan 91 pemantauan harian. Banjir kini tertumpu di jajahan tengah berikutan aliran air dari hulu dan hujan berterusan, terutama di Tanah Merah yang merekodkan taburan hujan tertinggi,” katanya.

Farhan Sufyan berkata jika hujan masih lebat, kebarangkalian berlakunya banjir terutama di kawasan sepanjang Sungai Golok amat tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan